Alliance Bank raih untung bersih lebih RM550 juta, naik 7.9% pada 9MFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank raih untung bersih lebih RM550 juta, naik 7.9% pada 9MFY25

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Alliance Bank Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM553.2 juta bagi sembilan bulan tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 (9MFY25), mewakili kenaikan 7.9% tahun-ke-tahun (YOY). 


Kedua-dua hasil faedah bersih dan pendapatan bukan faedah merekodkan prestasi baik, masing-masing naik 13.9% dan 11% YOY. 


Alliance bank meraih hasil faedah yang lebih tinggi itu didorong oleh volum pinjaman yang lebih tinggi dan margin faedah bersih berada pada 2.46%. 

 

Di samping itu, pendapatan bukan faedah yang mencecah lebih RM256 juta itu disokong oleh pendapatan pengurusan kekayaan lebih tinggi, jualan pertukaran wang asing (forex) dan pelaburan.

 


Katanya, nisbah kos kepada pendapatan bagi tempoh sembilan bulan meningkat kepada 46.8%, berikutan engan peningkatan hasil sebanyak 13.5% YOY, mengatasi kenaikan 10.1% dalam perbelanjaan operasi. 

 


Pinjaman keseluruhan berkembang 14.2% YOY kepada RM61 bilion, dengan pertumbuhan kukuh merentas semua segmen teras.

 

"Pinjaman perniagaan kecil dna sederhana (PKS) dan komersial masing-masing meningkat 14.1% dan 16.8% manakala pinjaman perbankan pengguna meningkat 13.8% dan pinjaman korporat meningkat 13.5%.

 

"Kami mengekalkan asas pembiayaan kukuh, dengan deposit pelanggan meningkat 13.3% YOY, terutamanya daripada deposit tetap yang meningkat 26.1% YOY," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sehubungan dengan itu, nisbah akaun simpanan akaun semasa (Casa) menyederhana sebanyak 39.4% tetapi kekal tertinggi di dalam industri. 

 

Alliance Bank
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank, Kellee Kam

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank, Kellee Kam berkata, strategi Acceler8 kami berfungsi sebagai asas kukuh yang mendorong kepada pertumbuhan mampan.

 

"Peningkatan merentasi semua lapan tiang mencerminkan komitmen kami untuk menyampaikan rumusan yang bagoi menyokong pelanggan pada setiap peringkat perjalanan mereka.

 

"Kami kekal fokus untuk mengutamakan pelanggan dengan meningkatkan nilai, memacu inovasi digital yang inovatif dan menyesuaikan diri dengan landskap yang semakin berkembang," katanya. - DagangNews.com