Alibaba Cloud lancar pertandingan KaryaWAN AI Challenge lahirkan generasi baharu bakat digital tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alibaba Cloud lancar pertandingan KaryaWAN AI Challenge lahirkan generasi baharu bakat digital tempatan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 AprilAlibaba Cloud melancarkan inisiatif berskala nasional, KaryaWAN AI Challenge bagi memacu penggunaan kecerdasan buatan (AI), dengan pendaftaran ditutup pada 7 Mei 2026.


Menurut kenyataan syarikat penyedia perkhidmatan teknologi awan itu, pertandingan baharu tersebut bertujuan merangsang inovasi kreatif serta melahirkan generasi baharu bakat digital tempatan.


Isu Kekurangan pekerja berkemahiran AI dan jurang antara teknologi serta aplikasi sebenar dilihat sebagai cabaran kritikal dalam usaha Malaysia menjadi negara berteraskan AI menjelang 2030.


"Justeru, KaryaWAN AI Challenge diadakan dan disokong Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), menghimpunkan komuniti serta akademia dalam usaha memperkukuhkan ekosistem AI negara," kata Alibaba Cloud. 


Cabaran tersebut menggunakan model penjanaan video Wan2.7, membuka ruang bagi pencipta kandungan, pembangun, pembikin filem dan peminat AI meneroka potensi penceritaan yang berasaskan teknologi.


KaryaWAN turut menampilkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Persatuan Kreatif AI Malaysia (PeKA) dan Prompters Malaya serta rakan industri bagi menyokong pembangunan teknikal dan kreatif peserta.


Pengurus Besar Malaysia Alibaba Cloud Intelligence, Choong Hon Keat berkata, inisiatif itu turut mencerminkan komitmen syarikat memperkasakan bakat tempatan melalui akses teknologi AI terkini.


“Matlamat kami adalah untuk memupuk inovasi dan memperluaskan aplikasi AI dalam pelbagai industri, di samping menyumbang kepada usaha pembangunan tenaga kerja Malaysia pada masa hadapan,” katanya.


Sementara itu, Ketua NAIO, Sam Majid menjelaskan, program seperti KaryaWAN AI Challenge penting untuk menterjemahkan strategi nasional terus kepada pelaksanaan sebenar di peringkat akar umbi.


Melalui inisiatif sebegini, Alibaba Cloud dilihat terus memainkan peranan dalam mempercepatkan transformasi digital negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi AI serantau.


Peserta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM24,000 melalui dua kategori utama yang menekankan aspek kreativiti sinematik, serta cabaran memfokuskan kepada rumusan dunia sebenar.


“Inisiatif ini membolehkan ramai bakat tempatan dapat melakukan eksperimen, meneroka inovasi baharu dan mencungkil pembangunan keupayaan AI dalam aplikasi dunia yang sebenar,” kata beliau.


Tarikh akhir penghantaran pada 15 Mei 2026 dengan pemenang dijangka diumumkan akhir Jun 2026. Maklumat lanjut sila menelusuri https://www.alibabacloud.com/en/campaign/ai_competition_mys?_p_lc=12- DagangNews.com