KUALA LUMPUR 10 Feb – CelcomDigi Berhad mengumumkan pelantikan Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, pelantikan ini adalah hasil daripada proses pencarian menyeluruh bagi memastikan kepimpinan yang kukuh untuk membawa syarikat ke fasa seterusnya.
“Kami menantikan kerjasama rapat bersama Albern dan pasukan pengurusan untuk melaksanakan strategi CelcomDigi, memacu pertumbuhan masa hadapan sebagai rakan kongsi telekomunikasi dipercayai Malaysia.
“Pelantikan ini juga akan mengukuhkan tadbir urus korporat, serta mengekalkan status syarikat sebagai antara tempat kerja terbaik di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Albern sebelum ini memainkan peranan penting dalam pasca penyatuan Celcom dan Digi pada 30 November 2022 sebagai Timbalan CEO, dan kini memegang tanggaungjawab sebagai pemangku CEO.
Beliau membawa lebih 22 tahun pengalaman kepimpinan dalam industri telekomunikasi, termasuk tujuh tahun sebagai CEO Digi.Com Berhad.
Selain itu, Albern pernah memegang jawatan sebagai Ketua Operasi, Ketua Pemasaran Digi, serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Emerging Asia di Telenor Asia.
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan strategi, CelcomDigi turut melantik Datuk Kamal Khalid sebagai Ketua Pegawai Strategi, Transformasi dan Peraturan.
Beliau akan bekerjasama rapat dengan Albern bagi memacu inisiatif strategik, transformasi, kecekapan operasi serta penglibatan pihak berkepentingan dan industri. - DagangNews.com








