Aktiviti O&G domestik perlahan, pendapatan Pantech diramal terjejas dalam tempoh terdekat - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti O&G domestik perlahan, pendapatan Pantech diramal terjejas dalam tempoh terdekat - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Pendapatan Pantech Group Holdings Berhad dijangka terjejas dalam tempoh terdekat disebabkan aktiviti sektor minyak dan gas (O&G) domestik yang semakin perlahan, kata TA Securities.

 

Katanya, kelemahan itu disebabkan jualan lebih rendah dalam segmen O&G domestik serta peningkatan kos operasi yang menjadikan margin operasi mengecil sebanyak 1.6 mata peratusan dari tahun ke tahun. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah penjimatan PETRONAS serta unjuran harga minyak mentah Brent yang lebih rendah dilihat akan mengehadkan penghantaran projek, khususnya dalam segmen perdagangan.

 

"Bagaimanapun, pendedahan meluas Pantech dalam sektor petrokimia, minyak sawit, rawatan air dan pembinaan kapal dijangka dapat meredakan kesan kitaran menurun sektor O&G.

 

"Walaupun berdepan cabaran luaran seperti tarif Seksyen 232 dan ketidaktentuan kadar pertukaran asing, segmen pembuatan kumpulan masih mendapat sokongan daripada asas pelanggan kukuh serta keupayaan memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pelanggan," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Pantech susut kepada RM14.56 juta pada 2QFY26 disebabkan jualan lebih rendah

 

TA Securities berkata, bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 2026 (1HFY26), untung bersih teras kumpulan berjumlah RM47.4 juta, lebih rendah daripada jangkaan penganalisis yang masing-masing mencapai 39% dan 42% daripada unjuran setahun penuh.

 

Katanya, bagi suku kedua FY26, keuntungan kasar kumpulan merosot 22.4% YoY, dipengaruhi oleh prestasi yang lebih lemah dalam kedua-dua segmen perdagangan dan pembuatan. 

 

Segmen perdagangan mencatatkan penurunan EBIT sebanyak 16.6% YoY manakala segmen pembuatan menyusut 24.5% YoY, disebabkan harga jualan keluli tahan karat yang lebih rendah serta pergerakan tukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 72 sen berbanding 96 sen sesaham," katanya.

 

Meskipun unjuran pendapatan diturunkan, saham Pantech kekal menarik sebagai kaunter dividen, dengan hasil sekitar 10%, disokong aliran tunai operasi yang kukuh, tahap hutang minimum dan rekod pembayaran dividen yang konsisten. - DagangNews.com