Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa 1 Jan 2026: Lindungi kanak-kanak dan keluarga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa 1 Jan 2026: Lindungi kanak-kanak dan keluarga

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025 – ONSA), yang menjadi kerangka perundangan baharu negara bagi memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

 

Melalui ONSA, tanggungjawab dan kewajipan yang lebih jelas dikenakan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak, serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

 

Akta tersebut terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

 

MCMC menegaskan, ONSA tidak terpakai kepada pengguna individu, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyedia perkhidmatan dan platform dalam talian yang beroperasi di Malaysia.

 

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A, AKM 1998, berkuat kuasa mulai hari ini.

 

 

ONSA

 


Sehubungan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.

 

Menurut MCMC, langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar tertakluk kepada tahap pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian.

 

Pendekatan tersebut juga bertujuan menangani cabaran keselamatan digital yang semakin kompleks seiring pertumbuhan pesat ekosistem dalam talian di negara ini.

 

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara keseluruhan bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

 

Usaha bersepadu itu disifatkan penting bagi memastikan perlindungan berkesan terhadap golongan rentan, khususnya kanak-kanak dan keluarga, dalam landskap digital yang kian mencabar.

 

Klik https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-releases/faq-the-online-safetyact-2025-onsa di laman rasmi MCMC bagi maklumat lanjut mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA). - DagangNews.com