Akademi MAB peroleh pengiktirafan IATA CBTA untuk kursus peraturan barang berbahaya, jadi pilihan utama penghantar barang udara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akademi MAB peroleh pengiktirafan IATA CBTA untuk kursus peraturan barang berbahaya, jadi pilihan utama penghantar barang udara

Gambar/FB Malaysia Airlines Academy
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - Akademi MAB, cabang latihan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), secara rasmi diiktiraf dan diluluskan oleh Pusat Latihan dan Penilaian Berasaskan Kecekapan (CBTA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam menyediakan sijil bagi kursus Peraturan Barang Berbahaya (DGR).

 

Pengiktirafan itu memperkukuh reputasi Akademi MAB sebagai penyedia latihan penerbangan yang dipercayai, melengkapkan profesional dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan barang berbahaya mengikut piawaian keselamatan antarabangsa.

 

Dengan pengiktirafan tersebut, Akademi MAB akan disenaraikan dalam daftar syarikat yang diiktiraf Pusat CBTA IATA dan akan disertakan dalam rujukan utama untuk sektor penerbangan, Manual DGR IATA Edisi Ke-67 (2026) serta edisi-edisi akan datang. 

 

Ia juga menjadikan Akademi MAB sebagai pilihan utama bagi penghantar barang udara dan profesional penerbangan yang mencari latihan yang diiktiraf oleh IATA.

 

Ketua Pegawai Operasi Akademi MAB, Aida Salfaraz Ahmad Fadzil berkata, pengiktirafan CBTA DGR IATA adalah pencapaian penting bagi Akademi MAB, mengukuhkan komitmennya untuk menjadi pusat latihan sehenti pilihan utama, yang menyediakan latihan penerbangan bertaraf dunia. 

 

"Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan kelayakan kami sebagai penyedia latihan yang dipercayai, tetapi juga membolehkan kami melengkapkan profesional industri dengan tahap kecekapan tertinggi dalam mengendalikan barang berbahaya. 

 

"Sebagai tambahan, kami terus berinovasi dengan teknologi seperti Realiti Terimbuh (XR) dan kami berbangga untuk menetapkan penanda aras baharu dalam latihan penerbangan serta menyumbang kepada kesiapsiagaan industri di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Wilayah IATA untuk Asia Utara dan Asia Pasifik, Dr. Xie Xingquan, merakamkan ucapan tahniah kepada Akademi MAB atas pencapaian berkenaan.

 

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen Malaysia Airlines terhadap piawaian keselamatan dan pematuhan tertinggi dalam pengangkutan barang berbahaya. 

 

"Dengan menggunakan pendekatan latihan berasaskan kecekapan, Malaysia Airlines meningkatkan keselamatan operasi serta kecekapan, prestasi dan pembelajaran berterusan pekerjanya," ujarnya. 

 

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan latihan penerbangan, Akademi MAB kini menyepadukan Realiti Terimbuh (XR) dalam kursus CBTA DGR mereka, memberikan peserta pengalaman pembelajaran yang interaktif dan mendalam. 

 

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk memperdalam pemahaman dan memperkukuh konsep-konsep utama melalui teknologi terkini.

 

Pencapaian tersebut menandakan langkah penting dalam cita-cita Akademi MAB untuk menjadi pusat kecemerlangan penerbangan, hospitaliti dan pembangunan profesional yang terkemuka di ASEAN. - DagangNews.com