Ajinomoto isytihar dividen akhir 40.85 sen, jadikan bayaran FY25 ke paras tertinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ajinomoto isytihar dividen akhir 40.85 sen, jadikan bayaran FY25 ke paras tertinggi

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – Ajinomoto (Malaysia) Bhd mengumumkan dividen pertama dan terakhirnya sebanyak 40.85 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25), menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahunan kepada rekod tertinggi iaitu RM2.53 sesaham.

 

Jumlah itu merangkumi dividen khas sebanyak RM2.12 hasil daripada penjualan tanah bernilai RM408 juta di Jalan Kuchai Lama.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tarikh kelayakan dividen itu jatuh pada 28 Ogos dan tarikh pembayaran adalah pada 24 September.

 

Kali terakhir syarikat mengisytiharkan dividen setinggi itu pada FY17 iaitu RM1.55 sesaham.

 

Untung bersih Ajinomoto merosot 87.6% kepada RM49.66 juta pada FY25 berbanding RM401.42 juta tahun sebelumnya, selepas mencatat kerugian bersih suku tahunan sebanyak RM6.9 juta pada suku keempat.

 

Kerugian itu merupakan yang pertama dicatatkan sejak FY22.

 

Prestasi itu berlaku meskipun pendapatan tahunan meningkat 7.55% kepada RM684.5 juta berbanding RM636.45 juta, disumbang oleh pertumbuhan dalam segmen perniagaan pengguna.

 

Saham Ajinomoto ditutup meningkat dua sen atau 0.16% kepada RM12.44, dengan modal pasaran berjumlah RM756.33 juta.- DagangNews.com