KUALA LUMPUR 4 Mac - AirBorneo, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh milik kerajaan negeri Sarawak, memperkenalkan kemudahan daftar masuk dalam talian bagi semua laluan yang dikendalikan oleh armada pesawat turboprop ATR, dalam usaha mempertingkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan di Malaysia Timur.
Syarikat penerbangan itu berkata, inisiatif berkenaan membolehkan penumpang mendaftar masuk secara digital, memilih tempat duduk pilihan serta memperoleh pas masuk elektronik sebelum tiba di lapangan terbang, sekali gus mengurangkan masa menunggu dan memperkemas aliran pergerakan di terminal.
Kemudahan tersebut ditawarkan kepada tempahan termasuk pengembara individu, keluarga dan kumpulan bagi laluan yang menggunakan pesawat ATR 72-500.
Menurut kenyataan AirBorneo, penumpang yang membawa bagasi daftar masuk boleh terus ke kaunter serahan bagasi sebaik tiba di lapangan terbang tanpa perlu beratur panjang di kaunter daftar masuk, sekali gus meningkatkan kecekapan proses sebelum berlepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, pelaksanaan daftar masuk dalam talian di seluruh rangkaian ATR merupakan langkah signifikan dalam agenda transformasi digital syarikat.
Beliau berkata, selain meningkatkan pengalaman pelanggan, inisiatif itu turut menyokong usaha pengoptimuman kos operasi dan penggunaan sumber manusia di lapangan terbang.
“Walaupun kami komited untuk memodenkan perkhidmatan, kami juga sedar sebahagian komuniti yang kami layani, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mungkin mempunyai capaian internet terhad.
“Justeru, kami terus mengekalkan perkhidmatan penuh di kaunter lapangan terbang bagi memastikan akses yang inklusif dan tiada penumpang yang tercicir,” katanya.
Perkhidmatan daftar masuk dalam talian itu boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi AirBorneo dengan menggunakan nombor rujukan tempahan dan nama keluarga, bermula 48 jam sebelum waktu berlepas dan ditutup 90 minit sebelum penerbangan.
Bagi penerbangan yang dikendalikan pesawat DHC-6-400 Twin Otter, proses daftar masuk kekal dilakukan di kaunter lapangan terbang bagi memastikan kesiapsiagaan operasi serta penyediaan bantuan di landasan udara pedalaman. _ BERNAMA








