KUALA LUMPUR 13 Feb — AirAsia Aviation Group berjaya menerbangkan sejumlah 63 juta penumpang sepanjang tahun lepas, dengan mencapai kadar muatan yang mencecah 89 peratus.
Kumpulan cabang penerbangan Capital A Berhad itu berkata, perkembangan positif tersebut menekankan kepada permintaan yang kukuh dan berterusan untuk perkhidmatannya.
Pada tempoh suku keempat 2024 (4Q24) sahaja, Capital A mengalu-alukan lebih 16 juta penumpang diterbangkannya, menandakan peningkatan sembilan peratus tahun ke tahun (YoY).
"Setelah bangkit semula daripada cabaran getir wabak Covid-19, kumpulan ini telah berjaya memulihkan sebanyak 84 peratus daripada tahap kapasiti sebelum pandemik," katanya.
AirAsia ujarnya, turut mengekalkan muatan yang kukuh sebanyak 88 peratus kerana permintaan seiring dengan kadar pertumbuhan kapasiti 10 peratus untuk perbandingan YoY.
Pertumbuhan penumpang melepasi pertumbuhan kapasiti sebanyak satu mata peratusan, dan situasi ini mengukuhkan keupayaan syarikat penerbangan itu untuk memenuhi keperluan pasaran.
"Pengembangan ketara armada kumpulan itu juga menyumbang kepada kejayaannya pada 2024 apabila bilangan aktif meningkat kepada 205 pesawat daripada 224 pesawat, dengan pengaktifan semula 14 pesawat pada tahun itu," katanya.
Capital A melaporkan bahawa ia menambah 10 pesawat kepada armadanya sepanjang tahun berkenaan, termasuk sembilan buah A321neo baharu dan satu A320 terpakai, di sebalik memulangkan dua pesawat kepada pemberi pajak.
Langkah tersebut meningkatkan lagikecekapan operasi dan berjaya mengembangkan kapasiti penerbangan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di keseluruhan rangkaiannya.
“Sehingga kini, AirAsia mempunyai 16 buah pesawat yang belum aktif, dengan sembilan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025 manakala baki tujuh pesawat pula pada suku kedua 2025.
Capital A berkata dengan operasi pesawat tersebut, AirAsia boleh menggunakan sepenuhnya armada dan membuka luas potensi pendapatan yang belum diterokai sebelum ini kerana isu pesawat terhad. - DagangNews.com








