KUALA LUMPUR 26 Feb - Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada akhir Mac ini, AirAsia menawarkan lebih 16,000 tempat duduk melalui lebih 90 penerbangan lewat malam dengan tambang tetap antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, penumpang boleh menempah tiket bermula hari ini sehingga 5 April 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE bagi mendapatkan harga yang berpatutan dan menarik.
Menurutnya, tambang tetap tersebut adalah bagi penerbangan bermula 28 Mac 2025 hingga 5 April 2025 antaranya pada harga RM328 sehala bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta Johor Bahru dan Kuching serta Sibu.
"Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, serta antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu pula boleh didapati dengan tambang tetap pada RM388 sehala," jelas AirAsia dalam satu kenyataan.
Tambahnya, AirAsia juga mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memudahkan pergerakan balik kampung penumpang sepanjang musim perayaan.
AirAsia pada masa sama turut menggalakkan penumpang yang akan membuat perjalanan pada musim perayaan agar mendaftar masuk sendiri menggunakan aplikasi AirAsia MOVE, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki pesawat.
"Penumpang juga disarankan untuk tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan yang dijadualkan bagi memastikan semua urusan perjalanan berjalan lancar semasa tempoh puncak ini," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
Katanya, inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499 serta program FLYsiswa adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengurangkan beban kewangan penumpang, khususnya pelajar yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kami akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan.
"Inisiatif tambang tetap AirAsia untuk Hari Raya Aidilfitri ini adalah langkah penting yang membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia pulang beraya bersama keluarga tanpa membebankan mereka," katanya semasa majlis pelancaran Tambang Tetap Raya 2025 di RedQ AirAsia, di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra berkata, pihaknya memahami betapa pentingnya sambutan hari raya bersama keluarga.
"Justeru, kami berusaha menawarkan lebih 16,000 tempat duduk pada tambang tetap bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman.
"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran operasi, kami tetap bersedia dan komited menawarkan penerbangan ini untuk semua," ujarnya. - DagangNews.com








