AirAsia pindah balik penerbangan domestik ke KLIA2 dari Subang mulai 7 April 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia pindah balik penerbangan domestik ke KLIA2 dari Subang mulai 7 April 2025

Gambar/klia2.info
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mac - AirAsia akan pindah balik semua perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berkuat kuasa 7 April 2025.

 

Langkah itu dibuat untuk meningkatkan kecekapan operasi kerana permintaan perjalanan yang semakin meningkat, serta untuk memperbaiki pengalaman penerbangan penumpang.

 

Dengan jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching meningkat secara signifikan melebihi 16 peratus dari tahun ke tahun, penggabungan operasi domestik di KLIA2 membolehkan syarikat menampung penambahan trafik penumpang dengan lebih baik.

 

Sejak beroperasi semula dari Lapangan Terbang Subang pada bulan Ogos 2024, AirAsia telah menilai semula corak penumpang dan keperluan operasinya. 

 

Syarikat penerbangan itu mendapati, KLIA2 menawarkan platform terbaik untuk mengoptimumkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatannya. 

 

Walaupun Lapangan Terbang Subang memudahkan penumpang terutamanya yang tinggal di kawasan bandar, pembangunan semulanya untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Captain Fareh Mazputra berkata, berikutan peningkatan permintaan bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching, penggabungan perkhidmatan domestik syarikat di KLIA2 adalah langkah terbaik untuk memacu pertumbuhan syarikat. 

 

"Langkah ini membolehkan kami meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang.

 

"Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan akses lebih mudah bagi penduduk bandar, kemudahan di KLIA2 lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar terutamanya pada waktu puncak," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, KLIA2 juga menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan apabila AirAsia menambah lebih banyak penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi ke Sabah dan Sarawak.

 

"Bagi memastikan peralihan lancar, kami akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memenuhi permintaan sedia ada. 

 

"Ini membolehkan majoriti penumpang yang melakukan perjalanan sempena musim perayaan ini menikmati kemudahan tersebut sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA2," jelasnya.

 

Fareh berkata, AirAsia juga menyediakan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan (SRO) yang menyeluruh, termasuk pertukaran penerbangan secara percuma dalam tempoh 30 hari, akaun kredit, atau bayaran balik penuh kepada para penumpang yang berdepan sebarang kesulitan.

 

"Sesi rundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan kemudahan yang lebih baik serta matlamat keterhubungan jangka panjang lapangan terbang utama. 

 

"KLIA2 memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab mega di rantau ini dan kami berbangga untuk terus memperluas kehadiran kami sebagai syarikat penerbangan utama," ujarnya.

 

Beliau pada masa yang sama berkata, pihaknya terus komited untuk meningkatkan sambungan dan perkhidmatan di hab-hab utama yang lain di Malaysia bagi para penumpang. - DagangNews.com