AirAsia MOVE lantik Manfredi Lefebvre d’Ovidio sebagai Pengerusi Eksekutif baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia MOVE lantik Manfredi Lefebvre d’Ovidio sebagai Pengerusi Eksekutif baharu

Manfredi Lefebvre d’Ovidio
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan - Platform ejen pelancongan dalam talian (OTA) di bawah Capital A, AirAsia MOVE, mengumumkan pelantikan Manfredi Lefebvre d’Ovidio sebagai Pengerusi Eksekutif baharunya, berkuat kuasa serta-merta. 

 

Beliau menggantikan Datuk Kamarudin Meranun yang banyak menyumbang dalam membangunkan AirAsia MOVE sebagai jenama terkemuka pelancongan di rantau ASEAN.

 

Kamarudin akan terus menyumbang kepakaran beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah AirAsia MOVE, manakala Tan Sri Tony Fernandes akan bertindak sebagai penasihat strategik kepada platform itu melalui kapasiti beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.

 

Kamarudin berkata, AirAsia MOVE berbesar hati menyambut kehadiran d’Ovidio.

 

"Sebagai seorang pemimpin yang dihormati dalam industri pelancongan global, beliau membawa pengalaman luas, perspektif antarabangsa serta visi yang luar biasa. 

 

"Ini adalah langkah penting untuk membawa AirAsia MOVE ke tahap yang lebih tinggi dalam era digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

d’Ovidio merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia pelancongan global. 

 

Dengan pengalaman selama berpuluh-puluh tahun menerajui syarikat terkemuka seperti Abercrombie dan Kent Travel Group, beliau dikenali sebagai tokoh penting dalam sektor pelancongan mewah dan peribadi. 

 

Pengalaman itu menjadikan beliau pemimpin yang sesuai untuk memacu pertumbuhan AirAsia MOVE. 

 

d’Ovidio berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk menerajui AirAsia MOVE, sebuah jenama yang telah mengubah pengalaman pelancongan di ASEAN. 

 

"Era peralihan digital dalam pelancongan baru sahaja bermula dan saya yakin platform ini mempunyai potensi besar untuk mencipta lebih banyak inovasi.

 

"Fokus utama saya adalah untuk memperkukuhkan pengalaman pengguna, menawarkan penyelesaian yang diperibadikan, serta memperluas kerjasama strategik bagi memastikan AirAsia MOVE kekal menjadi peneraju dalam sektor ini," jelasnya.

 

AirAsia MOVE memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju OTA di rantau ASEAN, menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti tempahan penerbangan, penginapan hotel, pakej pelancongan dan pengalaman percutian yang menyeluruh. 

 

Dengan pelantikan d’Ovidio, platform itu bersedia meneroka peluang baharu, memperkenalkan inovasi terkini serta memperluas jangkauan globalnya. - DagangNews.com