AirAsia buka laluan terus Johor Bahru–Kunming, jangka lonjak pelancongan dua hala dan perdagangan rentas sempadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia buka laluan terus Johor Bahru–Kunming, jangka lonjak pelancongan dua hala dan perdagangan rentas sempadan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovAirAsia Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran laluan terus baharu antara Johor Bahru dan Kunming, China, yang bakal beroperasi tiga kali seminggu bermula 14 Disember 2025, menandakan langkah strategik syarikat penerbangan tambang rendah itu memperkukuh hab domestiknya di luar Kuala Lumpur.

 


Menurut AirAsia, laluan baharu ini menjadikan syarikat itu satu-satunya penerbangan tambang rendah di Malaysia yang mengendalikan laluan komersial Johor Bahru–Kunming, sekali gus memperluas kesalinghubungan udara mampu milik antara Malaysia dan China.

 


Perkhidmatan ini juga menambah kepada 14 penerbangan mingguan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kunming, dan secara keseluruhan, menjadikan kumpulan itu mengendalikan 21 laluan ke 13 destinasi di China dari Malaysia menjelang akhir tahun depan agar memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau utama Asia Tenggara.

 


Menurut kenyataan syarikat, laluan baharu ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan dalam perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya dua hala, selain menyokong usaha kerajaan memperkukuh hubungan ekonomi dengan China melalui inisiatif bebas visa dua hala.

 


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pelancaran laluan itu membuktikan komitmen syarikat untuk memperluas capaian di luar ibu negara serta memacu pertumbuhan ekonomi wilayah.

 


“Kami bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan, malah sedang mentakrif semula kesalinghubungan Malaysia dalam rantau ini ke seluruh dunia. Pelancaran laluan Johor Bahru–Kunming ini menandakan komitmen kami untuk mengembangkan hab utama di luar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Katanya, langkah itu membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan perniagaan, terutama di Johor dan wilayah Yunnan.

 


“Dengan inisiatif bebas visa bersama antara Malaysia dan China, kini lebih ramai rakyat dapat meneroka dan menjalin hubungan rentas sempadan. Inilah komitmen AirAsia untuk menjadikan kesalinghubungan global lebih mudah diakses, mampu milik dan inklusif untuk semua,” katanya.

 


Bagi meraikan pelancaran tersebut, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa bermula daripada RM469 sehala termasuk semua bagi penerbangan dari Johor Bahru ke Kunming, dan CNY678 sehala termasuk semua bagi penerbangan dari Kunming ke Johor Bahru.

 

 Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman airasia.com mulai hari ini hingga 23 November 2025, untuk tempoh perjalanan dari 14 Disember 2025 hingga 28 Mac 2026.

 


Kunming, yang dikenali sebagai Bandar Musim Bunga kerana iklimnya yang sederhana sepanjang tahun, menjadi destinasi utama pelancong Malaysia untuk menikmati keindahan landskap semula jadi Yunnan, manakala pelancong China pula kini mempunyai akses terus ke Johor Bahru, pintu masuk ke Malaysia Selatan yang kaya dengan warisan budaya dan tarikan moden.

 


Pelancaran laluan baharu ini selaras dengan strategi Kumpulan AirAsia untuk menjadikan Johor Bahru sebagai hab selatan utama, melengkapi Kuala Lumpur sebagai hab utama kumpulan itu, serta meningkatkan kesalinghubungan udara dari pelbagai pintu masuk di seluruh Malaysia. - DagangNews.com