Aidilfitri: KLIA catat lebih 3.1 juta pergerakan penumpang bagi tempoh 14–29 Mac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aidilfitri: KLIA catat lebih 3.1 juta pergerakan penumpang bagi tempoh 14–29 Mac

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan lebih 3.1 juta pergerakan penumpang sepanjang tempoh 14 hingga 29 Mac sempena musim perayaan Aidilfitri.

 

Rekod ini mencerminkan tradisi balik kampung yang masih menjadi amalan rakyat Malaysia dengan perjalanan merentas negeri dan negara untuk bertemu ahli keluarga dan orang tersayang pada musim perayaan itu.

 

Bagi menyemarakkan semangat Aidilfitri, Malaysia Airports memperkenalkan kempen MY Raya Story yang direka khas untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan kali ini agar perjalanan pulang ke kampung lebih bermakna.

 

t

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata kempen itu memfokuskan peranan lapangan terbang bukan sekadar menjadi pusat transit, tetapi sebagai pintu masuk penting di mana perjalanan istimewa sesebuah keluarga bermula. 

 

“Sepanjang musim perayaan, kami berusaha meningkatkan perkhidmatan, memperbaiki aliran penumpang dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar bagi semua pengunjung.

 

“Untuk rakyat Malaysia, Aidilfitri adalah detik istimewa yang sinonim dengan perjalanan pulang ke kampung dan kegembiraan menyambut semula orang tersayang.

 

“Dalam usaha kami meraikan jumlah penumpang yang lebih tinggi di seluruh rangkaian, kempen MY Raya Story ini adalah antara komitmen kami untuk menyediakan pengalaman di lapangan terbang yang lancar dan bermakna,” katanya. 

 

t

 

t

 

Beliau turut berharap agar inisiatif itu akan menyumbang kepada aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam mempamerkan kehangatan, budaya dan hospitaliti negara terhadap pelancong.

 

Bagi mewujudkan suasana yang ceria, MAHB turut menyediakan ruang khas dengan seni berinspirasikan ketupat sebagai simbol tradisional Aidilfitri. 

 

Struktur berwarna hijau terang itu direka dengan gaya moden dan dibentuk seperti paviliun yang mengalir ke ruang tamu menyerupai rumah Malaysia, lengkap dengan aspek pencahayaan dan perincian yang menimbulkan rasa yang dekat di hati penumpang.

 

Ruang sekelilingnya dilengkapi dengan struktur tambahan dan tanaman hijau yang rimbun, mewujudkan pengalaman imersif yang menggabungkan warisan budaya dengan reka bentuk kontemporari. 

 

Selain itu, beliau berkata pengunjung boleh mencipta mesej raya peribadi yang dipaparkan pada skrin di seluruh lapangan terbang, menyebarkan ucapan perayaan dan menjadikan setiap perjalanan sebahagian daripada cerita Aidilfitri mereka.

 

MY Raya Story dijadualkan berlangsung di Terminal 1 KLIA sehingga 18 April 2026, memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati suasana Aidilfitri sepanjang tempoh perjalanan balik kampung. - DagangNews.com