Ahmad Zaki berdepan satu lagi petisyen gulung tikar membabitkan tuntutan RM407,754 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Zaki berdepan satu lagi petisyen gulung tikar membabitkan tuntutan RM407,754

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), telah menerima petisyen gulung tikar daripada TKH Industrial Supply Sdn Bhd berhubung tuntutan bayaran tertunggak berjumlah RM407,753.55.

 

AZRB berkata petisyen itu difailkan oleh TKH Industrial Supply di Mahkamah Tinggi Malaya pada 18 Ogos 2026 dan diserahkan kepada AZSB pada 20 Ogos 2026.

 

Menurut kumpulan, TKH Industrial Supply mendakwa AZSB gagal menjelaskan jumlah tertunggak bagi bekalan barangan, bahan industri dan bahan binaan yang dibekalkan kepada syarikat berkenaan.

 

Susulan kegagalan pembayaran itu, pempetisyen memulakan prosiding bagi menggulung AZSB.

 

Bagaimanapun, AZRB berkata AZSB bukan anak syarikat utama kumpulan, dan kumpulan tidak menjangkakan pemfailan petisyen berkenaan akan memberi kesan kewangan atau operasi yang ketara.

 

“Selain yuran guaman dan perbelanjaan berkaitan, Kumpulan AZRB tidak menjangkakan akan menanggung sebarang kerugian yang berpunca daripada petisyen tersebut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

AZRB berkata jumlah kos pelaburannya dalam AZSB adalah sebanyak RM165.30 juta.

 

Sementara itu, AZSB kini sedang mengadakan perbincangan dengan TKH Industrial Supply bagi merundingkan penyelesaian terhadap perkara tersebut secara segera dan baik. AZRB turut menyatakan keyakinan bahawa perkara itu dapat diselesaikan dengan jayanya.

 

Sementara itu pada 20 Ogos 2026, Aneka Jaringan Holdings Bhd memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Aneka Jaringan Sdn Bhd, memfailkan petisyen gulung tikar terhadap AZSB bagi menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM5.93 juta.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya pada 19 Ogos 2026 melalui peguamcara yang dilantik oleh Aneka Jaringan. - DagangNews.com