Ahli Parlimen Bakri persoal turun naik luar biasa saham Genting Malaysia, gesa siasatan telus oleh SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahli Parlimen Bakri persoal turun naik luar biasa saham Genting Malaysia, gesa siasatan telus oleh SC

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Nov – Seorang ahli Parlimen hari ini mempersoalkan turun naik ketara harga saham Genting Malaysia Bhd (GENM) sepanjang tahun ini, menjelang pengumuman pelan penswastaan kumpulan konglomerat hiburan dan pelancongan itu.

 

Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berkata, saham Genting Malaysia pernah mencecah paras tertinggi setahun sebanyak RM2.48 pada 18 Februari, sebelum merosot 42 peratus kepada RM1.46 pada 9 April, dan kemudiannya pulih kepada RM2.14 pada 10 Oktober.

 


“Tiga hari kemudian, dagangan saham digantung bagi memberi laluan kepada pengumuman rasmi. Corak turun naik ini menimbulkan persoalan sama ada wujud aktiviti dagangan mencurigakan atau penggunaan maklumat dalaman yang perlu disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

Tan berkata, ramai pelabur runcit telah membeli saham pada harga melebihi RM3 sesaham, malah sebahagiannya masih memegang saham tersebut sejak ia diniagakan melebihi RM6 pada kemuncak sejarahnya.

 


“Saya menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan SC menilai secara telus dan adil kesan sebenar pelan penswastaan ini terhadap pelabur awam,” katanya.
 

 

Tan Hong Pin

 

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menjelaskan, pergerakan ketara saham Genting Malaysia pada tempoh tersebut berpunca daripada beberapa faktor asas dan luaran yang mempengaruhi sentimen pasaran.

 


“Antara akhir Februari hingga awal April 2025, harga saham Genting Malaysia menjunam dengan ketara selepas pengumuman keputusan kewangan suku keempat yang merupakan prestasi terlemah kumpulan dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

 


Menurut Lim, turun naik tersebut turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global susulan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang tidak konsisten serta sentimen ekonomi yang lemah di rantau Asia.

 


“Pergerakan harga saham pada masa itu menunjukkan bahawa pelabur dan pemegang saham mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan pelaburan yang wajar,” katanya.

 


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat sebarang salah laku dagangan, termasuk dagangan orang dalam (insider trading), tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak berkuasa.

 

 

 

 

 


“SC akan menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas sekiranya pelanggaran undang-undang sekuriti dapat dibuktikan,” tegasnya.

 


Saham Genting Malaysia digantung dagangan pada 13 Oktober 2025 sebelum pengumuman rasmi berkaitan cadangan penswastaan oleh pemegang saham utamanya, Genting Bhd. - DagangNews.com