Agrobank catat rekod pembiayaan RM10.44 bilion pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agrobank catat rekod pembiayaan RM10.44 bilion pada 2024

Gambar/FB Agrobank

KUALA LUMPUR 28 Mac - Agrobank mencapai rekod tertinggi jumlah pembiayaan sebanyak RM10.44 bilion pada tahun 2024, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 25.46%, berbanding 15.97% pada tahun 2023.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jumlah keseluruhan pembiayaan bank tersebut meningkat sebanyak RM1.21 bilion bersamaan 72.08%, berbanding pada 2023.

 

Katanya, pertumbuhan berkenaan didorong oleh prestasi kukuh dalam tiga segmen utama iaitu kategori PKS yang mencapai RM547.68 juta (161.08% melebihi sasaran); Ar-Rahnu dengan RM186.92 juta (155.76% melebihi sasaran); dan segmen mikro dengan RM181.21 juta (100.67% melebihi sasaran).

 

"Jumlah pembiayaan kami menunjukkan pertumbuhan yang ketara, mencerminkan sokongan tanpa henti kami terhadap pembangunan sektor pertanian negara," katanya kepada pemberita mengenai prestasi Agrobank 2024 dan hala tuju 2025 seperti laporan The Sun, semalam.

 

Beliau berkata, baki deposit juga mencatatkan pertumbuhan yang sihat kepada RM13.25 bilion, jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun.

 

"Prestasi kukuh dalam aktiviti pengumpulan deposit ini tercermin dalam nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) yang berada pada paras 44% daripada jumlah deposit, melebihi purata industri perbankan yang hanya 31%," jelasnya.

 

Jumlah pendapatan bank pula mencapai RM1.26 bilion dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 9.32%, pencapaian tertinggi dalam tempoh tiga tahun terakhir.

 

"Perkembangan ini didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam pembiayaan serta pendapatan tambahan dari pelaburan (naik 22.8%), usaha pemulihan (naik 9.67%), serta pendapatan berasaskan yuran (naik 9.95%)," ujarnya.

 

Bagi menghadapi tahun 2025, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank akan mempertingkat usaha dalam empat bidang utama yang saling berkait.

 

Ia melibatkan inisiatif untuk memodenkan sektor pertanian melalui rumusan kewangan dan program yang mampu milik, yang akan menggalakkan penerapan teknologi pertanian pintar, sistem pertanian tepat dan kemampuan industri 4.0.

 

Selain itu, Agrobank akan memperdalam komitmen rumusan takaful kepada sektor pertanian selain tanaman padi serta meningkatkan tawaran perkhidmatan agar dapat menarik lebih banyak pelanggan.

 

Agrobank juga akan terus menyokong peralihan sektor pertanian ke arah aktiviti yang lebih lestari dan menyepadukan penilaian risiko iklim ketika memberi pinjaman.

 

"Inisiatif terakhir akan menyaksikan bank memupuk bakat yang pelbagai untuk terus memajukan agenda pembangunan Agrobank dalam sektor pertanian.

 

"Melalui keutamaan strategik ini, Agrobank berhasrat memacu sektor pertanian yang lebih tahan lasak dan menyeluruh sambil memastikan penjagaan alam sekitar dan pembangunan komuniti kekal menjadi teras kepada misi kami," ujar Tengku Ahmad Badli Shah. - DagangNews.com