KUALA LUMPUR 25 Feb - Untung bersih Affin Bank Bhd meningkat 26.7% kepada RM509.7 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM402.2 juta pada tahun sebelumnya didorong pertumbuhan pinjaman serta pembiayaan.
Hasil kumpulan pada FY24 meningkat kepada RM2.17 bilion berbanding RM1.98 bilion pada FY23.
Pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan meningkat 8.1% kepada RM72 bilion, berbanding RM66.7 bilion pada FY23, dengan jumlah aset dicatatkan pada RM111.8 bilion setakat 31 Disember 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kumpulan itu terus mengukuhkan asas pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan keputusan itu mencerminkan pelaksanaan Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28) yang berdisiplin.
Beliau berkata, kumpulan itu melaksanakan Skim Persaraan Awal pada 4QFY24, berjumlah kos RM48.5 juta. Keuntungan kukuh yang dijana akan dilaburkan semula perniagaan bagi mengembangkan lagi kunci Kira-kira dan meningkatkan keupayaan digital kumpulan.
"Usaha kumpulan meningkatkan margin faedah bersih (NIM) menunjukkan hasil awal, dengan CASA melepasi sasaran 30%.
"Pada masa yang sama, kami sedang memajukan perjalanan transformasi digital kami dengan pengenalan teras digital dan aplikasi mudah alih baharu, yang dilancarkan pada suku pertama 2025, yang akan melonjakkan pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.
Pendapatan faedah bersih (NII) merekodkanRM826.4 juta, meningkat RM43.5 juta atau 5.6% berbanding tempoh kewangan sebelumnya sebanyak RM782.9 juta manakala pendapatan bukan faedah (NOII) ialah RM652.2 juta, meningkat RM44.9 juta atau 7.4% daripada RM607.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Perbelanjaan mengurus kumpulan meningkat kepada RM1.66 bilion pada FY24 berbanding RM1.42 bilion pada tahun sebelumnya
Nisbah kos kepada pendapatan bagi tempoh dalam tinjauan ialah 76.88%, meningkat daripada 71.57% pada FY23.
Wan Razly berkata, bagi memberi ganjaran kepada pemegang saham, pihaknya mencadangkan terbitan bonus satu saham baharu bagi setiap 18 saham sedia ada.
Katanya, terbitan bonus akan membolehkan lebih ramai pemegang saham mengambil bahagian dalam penciptaan nilai kami.
"Inisiatif ini mencerminkan keyakinan dan komitmen kami terhadap perkhidmatan yang tiada tandingan dan transformasi digital sambil menandakan prospek pertumbuhan masa depan yang kukuh," katanya.- DagangNews.com








