Affin Bank berpotensi tetapkan sasaran lebih agresif untuk FY25 bagi memacu pertumbuhan masa hadapan, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Affin Bank berpotensi tetapkan sasaran lebih agresif untuk FY25 bagi memacu pertumbuhan masa hadapan, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Feb - Affin Bank Bhd berpotensi tetapkan sasaran yang lebih agresif pada FY25 selain berhasrat meningkatkan modal bagi memacu pertumbuhan masa hadapan serta pemerolehan strategik bagi melengkapkan perniagaannya, kata Kenanga Research.

 

Katanya, sehingga kini kerajaan negeri Sarawak tidak menyumbang banyak kepada segmen pinjaman atau buku depositnya.

 

"Kami mengekalkan saranan "underperform" tetapi dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM2.40 berbanding RM2.20 sesaham," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), untung bersih Affin meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM135.1 juta, atau pendapatan sesaham 5.63 sen RM39.5 juta, atau 1.72 sen pada suku tahun lalu.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 14.7% kepada RM557.7 juta daripada RM486.2 juta.

 

Bagi FY24, bank itu mencatatkan keuntungan bersih RM509.7 juta, meningkat 26.7% daripada RM402.2 juta manakala hasil meningkat 9.3% kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.9 bilion pada FY23.

 

Pendapatan faedah bersih (NII) dicatatkan pada RM826.4 juta, meningkat RM43.5 juta atau 5.6% berbanding tempoh kewangan sebelumnya sebanyak RM782.9 juta.

 

Pendapatan bukan faedah Affin bagi tempoh dalam tinjauan ialah RM652.2 juta, meningkat RM44.9 juta atau 7.4% daripada RM607.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Bagi FY24, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bagi kumpulan itu berada pada 1.94% berbanding 1.90% pada FY23.

 

Kenanga Research berkata, pendapatan bersih Affin pada FY24 sebanyak RM509.7 juta berada dalam anggaran konsensus tahun penuh pada 105% tetapi melebihi unjuran tahun penuhnya sebanyak 6%.

 

Katanya, sisihan positif adalah disebabkan oleh masuk kira semula yang lebih luas daripada jangkaan yang didaftarkan pada 4QFY24 daripada pementasan yang lebih baik.

 

Tiada dividen tunai diisytiharkan untuk FY24.

 

Sebaliknya, Affin mengumumkan terbitan bonus 1:18 untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, diterjemahkan kepada peningkatan 6% dalam asas saham apabila selesai, katanya. - DagangNews.com