Aeon tingkatkan kecekapan tenaga di kesemua pusat beli-belahnya bagi imbangi kenaikan tarif elektrik - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon tingkatkan kecekapan tenaga di kesemua pusat beli-belahnya bagi imbangi kenaikan tarif elektrik - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Aeon Co (M) Bhd sedang berusaha meningkatkan kecekapan tenaga di semua pusat beli-belahnya bagi mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan pada Disember 2024, kata TA Securities.

 

Pada Disember 2024, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kenaikan 14.2% dalam tarif elektrik asas bagi Semenanjung Malaysia, menaikkan kadar kepada 45.62 sen/kWj, berkuat kuasa 1 Julai 2025.

 

Katanya, pengurusan Aeon berkata, perbelanjaan utiliti pada masa ini membentuk kira-kira 15% daripada jumlah kos operasi syarikat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kenaikan tarif mungkin membawa kepada peningkatan kos operasi, kesannya mungkin dapat dikurangkan sebahagiannya oleh penjimatan tenaga sebanyak 5% hingga 7% daripada pemasangan panel solar seluruh pusat beli-belah Aeon.

 

"Bagi mengurangkan kesan pada masa hadapan, kumpulan itu merancang untuk memperkukuh inisiatif kecekapan tenaga di seluruh pusat beli-belahnya.

 

"Ia termasuk melaksanakan sistem penjimatan tenaga di 14 pusat beli-belah Aeon, menyahaktifkan eskalator pada waktu luar puncak, beralih kepada lampu LED, dan mengoptimumkan operasi penyaman udara untuk meningkatkan kecekapan tenaga," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Securities berkata, Persatuan Peruncit Malaysia sedang berbincang dengan kerajaan untuk meminta pengecualian kenaikan tarif bagi peruncit, memandangkan kenaikan kos elektrik akan menambah tekanan ke atas overhed, terutamanya selepas kenaikan gaji baru-baru ini.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya Aeon akan mengambil langkah proaktif untuk meminimumkan kesan kenaikan tarif, sekiranya ia digubal," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Aeon mengalami peningkatan kehadiran pengunjung dan jumlah itu meningkat semasa musim perayaan baru-baru ini berbanding tahun sebelumnya.

 

Katanya, ia disebabkan pasaran buruh yang lebih stabil, yang dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan isi rumah.

 

“Kami percaya peningkatan itu didorong pasaran buruh yang lebih stabil, yang dijangka mengekalkan pertumbuhan pendapatan isi rumah.

 

"Dengan unjuran peningkatan dalam perbelanjaan pengguna dan pembukaan semula sepenuhnya pusat beli-belah dan kedai Aeon, jualan runcit dijangka meningkat sebanyak 25.5% suku ke suku kepada RM1 bilion, dengan anggaran purata RM68.4 setiap transaksi pada suku keempat 2024," katanya. - DagangNews.com