Advancecon terima kontrak RM56.64 juta bagi kerja-kerja pembinaan di Ladang Londah, Gemas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Advancecon terima kontrak RM56.64 juta bagi kerja-kerja pembinaan di Ladang Londah, Gemas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Advancecon Holdings Bhd menerusi Advancecon Infra Sdn Bhd menerima kontrak RM56.64 juta bagi pembinaan dan penyiapan pembersihan tapak, kerja tanah, kawalan hakisan, tambak takungan air dan kerja-kerja sampingan lain di Ladang Londah, Mukim Gemas, Negeri Sembilan.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak diberikan oleh F&N Agrivalley Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Fraser & Neave Holdings Bhd, dengan garis masa penyiapan projek selama 10 bulan dari tarikh pemilikan tapak.

 

Dengan kontrak ini, buku pesanan terkumpul kumpulan kini meningkat kepada RM729.64 juta, mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Phum Ang Kia berkata, kemengan itu adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan bagi mengukuhkan kehadiran dalam sektor kejuruteraan awam dan pembinaan.

 

“Pasukan kami kekal komited untuk memastikan pelaksanaan projek tepat pada masanya sambil mengekalkan standard tertinggi kualiti, keselamatan dan kemampanan alam sekitar. Kami berharap dapat menyokong F&N Agrivalley dalam menjayakan projek ini," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Projek itu akan dilaksanakan dalam pelbagai fasa, memberi tumpuan kepada penyediaan tapak yang komprehensif, langkah-langkah perlindungan alam sekitar dan pembinaan tambak takungan air yang cekap.

 

Rekod prestasi kumpulan yang terbukti dalam kerja tanah, pembangunan infrastruktur dan rumusan kejuruteraan awam meletakkan kumpulan sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk projek berskala besar di seluruh Malaysia.

 

Dengan buku pesanan yang kukuh, Advancecon kekal teguh dalam komitmennya untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya.

 

Kumpulan akan terus memanfaatkan kepakaran dan pengalaman industrinya untuk meneruskan projek infrastruktur dan pembinaan baharu, seterusnya mengukuhkan kepimpinan pasarannya. - DagangNews.com