KUALA LUMPUR 28 Mei - Pengambilalihan pegangan Aramco dalam PRefChem oleh PETRONAS berpotensi menjadi petunjuk awal kepada kemungkinan penyusunan semula pegangan dalam operasi hiliran di Pengerang, termasuk pelupusan kepentingan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) dalam Pengerang Petrochemical Company (PPC) kepada syarikat minyak dan gas negara itu, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, jika senario itu menjadi kenyataan, ia berpotensi meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras PCG bagi FY27–FY28 sebanyak 67% hingga 96%, berikutan potensi penghapusan kerugian PPC daripada penyata kewangan kumpulan.
CGSI mengekalkan saranan “Tambah” terhadap saham PCG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.58, berdasarkan nisbah sasaran harga kepada nilai buku (P/BV) sebanyak 1.4 kali, dengan jangkaan pasaran akan memberi penilaian semula terhadap prospek pendapatan syarikat.
"Kenyataan PETRONAS bahawa “pemilikan penuh PRefChem membolehkan PETRONAS meningkatkan keselarasan operasi dan fleksibiliti merentasi rantaian nilai” turut dilihat sebagai isyarat kemungkinan konsolidasi penuh operasi PPC pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.
CGSI berkata, jika perkara itu berlaku, PCG berpotensi kembali kepada struktur operasi lebih menguntungkan seperti sebelum ini, disokong penggunaan bahan suapan etana dan metana dengan kos lebih kompetitif.
“Tanpa PPC dalam struktur pegangan, unjuran keuntungan bersih teras FY26F PCG akan meningkat 46%, manakala FY27F dan FY28F masing-masing meningkat 67% dan 96%,” katanya.
Bagaimanapun, jika andaian tersebut tidak menjadi kenyataan, unjuran asas bagi PCG kekal tidak berubah.
Dalam perkembangan lain, saham PCG turut berada di bawah tekanan sejak kebelakangan ini susulan jangkaan pasaran terhadap kemungkinan pembukaan semula Selat Hormuz yang boleh menekan harga jualan petrokimia serta kos bahan mentah seperti minyak mentah, naphtha dan gas asli.
Risiko lain termasuk potensi kerugian lebih besar daripada jangkaan di loji Kertih susulan kerja penyelenggaraan pada suku kedua 2026.
Namun begitu, CGSI melihat pemulihan ketara keuntungan suku ke suku PCG pada 2QFY26 sebagai pemangkin utama penilaian semula (rerating), selain kemungkinan penstrukturan semula pegangan dalam PPC oleh Petronas.
Jika perkembangan itu menjadi realiti, firma penyelidikan itu menjangkakan pasaran akan memberikan reaksi positif dan menilai semula saham PCG ke paras lebih tinggi.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini PETRONAS dan Aramco mengumumkan Aramco akan melupuskan 50% pegangan ekuitinya dalam Pengerang Refining Company (PRC) dan Pengerang Petrochemical Company (PPC) kepada Petronas. Gabungan PRC dan PPC turut dikenali sebagai ‘PRefChem’.
Susulan itu, PETRONAS akan memiliki 100% PRC manakala PETRONAS dan PCG akan memiliki pegangan 50:50 dalam PPC.
Syarat pelupusan pegangan Aramco kepada PETRONAS telah dipersetujui bersama, dan kedua-dua pihak akan meneroka secara aktif pengaturan komersial selepas pemindahan, termasuk penyelarasan bekalan minyak mentah, pertukaran teknologi dan pengedaran produk bersepadu.
Transaksi ini tidak memberi kesan serta-merta kepada PCG kerana ia masih mengekalkan pegangan 50% dalam PPC, dan PCG dijangka meneruskan kerjasama operasi serta pemegang saham yang rapat dengan PETRONAS di fasiliti Pengerang. - DagangNews.com








