9,950 wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia, kurang 2 peratus daripada sasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

9,950 wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia, kurang 2 peratus daripada sasaran

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga 31 Disember lepas, terdiri daripada sejumlah 9,550 anggota wanita, jelas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
 

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa daripada jumlah tersebut, seramai 6,574 direkodkan dalam tentera darat, 1,953 dalam tentera laut, dan 1,023 dalam tentera udara.
 

“Kerajaan namun tetap komited untuk menempatkan lebih banyak anggota wanita dalam pelbagai misi penting,” katanya menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas).
 

Beliau menambah, setakat akhir tahun lalu, ATM mencatatkan sejumlah 222 anggota tentera wanita yang telah berkhidmat di luar negara dengan meliputi pelbagai jenis tugasan.
 

Ini merangkumi penyertaan mereka dalam misi kemanusiaan, operasi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama dan penugasan diplomatik tentera.
 

ATM ujar Adly, melaksanakan tiga misi kemanusiaan antarabangsa yang melibatkan seramai 118 anggota wanita antaranya menerusi Op Starlight di kem Cox's Bazar, Bangladesh.
 

Sejumlah 89 anggota tentera wanita menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan 245 anggota yang memberikan bantuan perubatan kepada pelarian etnik Rohingya dari Myanmar.
 

Misi lain jelas beliau, termasuk bantuan kepada ribuan mangsa gempa bumi di Türkiye dan perkhidmatan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang cedera di Malaysia.
 

Walaupun begitu, jumlah keseluruhan anggota tentera wanita didapati berkurangan sebanyak dua peratus daripada sasaran yang digariskan dalam semakan Kertas Putih Pertahanan (DWP).
 

Justeru Adly berkata, beberapa bidang boleh dipertingkatkan lagi oleh pihak ATM untuk meningkatkan penyertaan ramai wanita, khususnya dalam aspek penggunaan teknologi.
 

"Peluang kerjaya wanita dalam domain siber adalah luas," katanya sambil menambah bahawa penyertaan mereka adalah kukuh dalam pentadbiran dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
 

Beliau juga berkata, kakitangan wanita diberikan peluang sama rata untuk memajukan kerjaya ketenteraan termasuk prospek bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
 

Kajian Separuh Penggal DWP, yang dilancarkan pada tahun lepas, akan menjadi asas kepada Kementerian Pertahanan dan ATM untuk terlibat dengan perancangan kerajaan persekutuan.
 

Usaha tersebut turut memastikan keperluan terkini pasukan keselamatan dapat ditangani dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang meliputi dari 2025 sehingga 2030. - DagangNews.com