KUALA LUMPUR 14 Mac - Sebanyak lapan syarikat pemula teknologi kewangan, terpilih untuk menyertai TeXnovasi Accelerator Programme yang akan berlangsung selama enam bulan hasil kerjasama GXBank dan Grab Malaysia.
Disokong oleh Cradle Fund dan 1337 Ventures, TeXnovasi diperkenalkan bagi memperkasakan syarikat pemula teknologi kewangan tempatan melalui bimbingan dan akses kepada sumber berkaitan.
Objektifnya adalah membina negara yang didorong oleh teknologi serta diperkasa dari segi kewangan dan menjadikan Malaysia pemain utama dalam perkembangan kewangan digital.
Lapan syarikat pemula yang terpilih adalah Cashku, Du-it, Enprivacy, FinDoctor.my, Finory.tech, Kapitani, PulseLink dan Swipey.
Setiap syarikat pemula akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek kewangan seperti perlindungan dan pengesanan penipuan dan penyelewengan digital, serta membantu memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang melalui penambahbaikan akses dan operasi kewangan melalui struktur perlindungan dan bantuan sosial yang mampan.
Ketua Pegawai Teknologi GXBank, Fadrizul Hasani berkata, syarikat-syarikat itu dipilih berdasarkan potensi inovasi untuk menyelesaikan tiga bidang penting dalam landskap kewangan Malaysia iaitu kebolehcapaian, keselamatan dan pengalaman.
"Ekosistem syarikat pemula negara kita mempunyai potensi yang besar terutamanya dalam sektor teknologi kewangan.
"Namun, kebanyakan syarikat ini sering menghadapi cabaran dalam usaha memperluaskan perniagaan antaranya melibatkan pengawalseliaan, mengimbangi kerumitan data, teknologi dan pematuhan serta kekurangan pembiayaan," katanya dalam satu kenyataan.
Fadrizul berkata, GXBank bersama-sama Grab Malaysia, ingin membantu menyelesaikan cabaran kewangan rakyat Malaysia.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen Grab Malaysia dan GXBank untuk memupuk ekosistem keusahawanan dan memacu impak yang bermakna, justeru membantu Malaysia menjadi hab teknologi yang berkembang maju," tambahnya.
Kelapan-lapan syarikat pemula berkenaan akan menerima bimbingan peribadi daripada pakar bidang tertentu di Grab Malaysia dan GXBank, termasuk Ketua Pemasaran Serantau Grab Malaysia, Hassan Alsagoff; Ketua Pegawai Operasi GXBank, Hildah Hamzah; Ketua Pegawai Komersial PKS, Prasanna Rao; dan Ketua Perkhidmatan Kad GXBank, Ashish Gaurav.
Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures, Bikesh Lakhmichand menekankan peranan penting yang dimainkan oleh syarikatnya sebagai pelabur modal teroka dan rakan utama untuk TeXnovasi.
"Melalui program ini, kami ingin melengkapkan syarikat pemula dengan kemahiran kritikal dan bimbingan yang diperlukan untuk memperluaskan perniagaan mereka dalam sektor kewangan Malaysia.
"Sesi bengkel eksklusif akan meliputi bidang utama seperti kemasukan pasaran, inovasi dan pengembangan, bagi menyediakan syarikat pemula untuk pertumbuhan," jelasnya. - DagangNews.com








