8 syarikat kartel didenda RM92.8 juta oleh MyCC kemuka rayuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

8 syarikat kartel didenda RM92.8 juta oleh MyCC kemuka rayuan

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sebanyak lapan syarikat akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung denda sebanyak RM92.8 juta yang dikenakan kepada mereka atas dakwaan terlibat dalam kartel penetapan harga bidaan untuk tender terbuka.

 

Syarikat-syarikat yang terlibat adalah Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd dan Kiara Kilat Sdn Bhd.

 

Pengarah IDX Multi Resources Sdn Bhd, Rahmat Hidayat Mohamed, yang mewakili semua syarikat itu berkata, mereka akan memohon untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu proses rayuan dan akan mengemukakan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) tidak lama lagi.

 

 

"MyCC mengumumkan keputusan yang dicadangkan melalui kenyataan media pada April 2024. Sehubungan itu, semua syarikat telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada Mei 2024 di Mahkamah Tinggi dengan keputusan semakan kehakiman dijadualkan pada 30 April 2025.

 

"Bagaimanapun MyCC mengeluarkan kenyataan media mengenai keputusan akhir denda pada 28 Februari 2025 sebelum keputusan semakan kehakiman," katanya seperti laporan The Edge.

 

Rahmat Hidayat berkata, notis rayuan yang dikemukakan kepada CAT dibuat berasaskan hujah yang kukuh, termasuk fakta pemerolehan projek pada 2019 dilakukan melalui tender terbuka yang melibatkan 200 syarikat, memastikan persaingan yang adil.

 

Beliau berkata, syarikat-syarikat itu menganggap keputusan MyCC dan denda yang dikenakan adalah tidak berasas dan akan mencabar keputusan MyCC untuk mempertahankan reputasi mereka dan menegakkan integriti. - DagangNews.com