KUALA LUMPUR 28 Okt – Hampir 70% perniagaan yang ditubuhkan pada 2019 masih beroperasi sehingga 2024, menunjukkan lebih banyak perniagaan tempatan mampu bertahan dalam jangka masa lima tahun.
Jumlah itu meningkat berbanding 66.5% bagi perniagaan yang ditubuhkan pada 2018, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Statistik Demografi Perniagaan yang diterbitkan jabatan itu juga melaporkan terdapat 46,859 perniagaan baharu pada 2019, menurun sedikit berbanding 47,247 perniagaan yang ditubuhkan pada 2018.
Analisis yang dijalankan DOSM itu memfokuskan tempoh operasi perniagaan dari penubuhan sehingga penutupan, serta tempoh bertahan sebelum sesebuah perniagaan ditutup.
Kajian itu mendapati sektor pembinaan mencatat kadar kelangsungan lima tahun tertinggi iaitu 72.8%, diikuti sektor pembuatan pada 70.3% dan perkhidmatan pada 69.8%.
Pada peringkat subsektor, kesihatan swasta dan kerja sosial merekodkan kadar kelangsungan tertinggi pada 79.2%, diikuti bangunan kediaman 76.8% dan peralatan pengangkutan serta pembaikan 73.2%.
Berdasarkan kategori negeri, Labuan mencatat kadar kelangsungan tertinggi pada 77.8%, diikuti Sarawak 77.3% dan Perak 76.2%.
Keadaan ini menunjukkan beberapa kawasan selain Lembah Klang turut mempunyai perniagaan yang stabil dalam tempoh lima tahun.
Sehingga 2024, Malaysia mempunyai 734,089 perniagaan aktif, jumlah tertinggi dalam lapan tahun, dengan hampir dua kali ganda perniagaan baharu ditubuhkan berbanding yang ditutup.
Kuala Lumpur kekal sebagai pusat perniagaan utama negara dengan 236,877 perusahaan aktif, diikuti Selangor 195,333 dan Johor 72,401.

Negeri dengan jumlah perniagaan aktif paling rendah adalah Putrajaya 616, Perlis 822 dan Labuan 1,061.
Jumlah perniagaan baharu pada 2024 melonjak kepada 55,376, iaitu peningkatan tertinggi dalam lapan tahun.
Kuala Lumpur merekodkan bilangan perniagaan baharu tertinggi iaitu 18,427, diikuti Selangor 15,100 dan Johor 6,679.
Putrajaya merekodkan kadar pertumbuhan perniagaan baharu tertinggi 9.7%, diikuti Johor 9.2%, Kuala Lumpur 7.8% dan Selangor 7.7%.
Sektor perkhidmatan menjadi peneraju pertumbuhan perniagaan baharu dengan kadar 7.8%, diikuti pembinaan serta perlombongan dan kuari masing-masing 6.8%.
Dalam sektor perkhidmatan, subsektor makanan dan minuman mencatat kadar pertumbuhan tertinggi 13.8%, seni dan hiburan 12.6% dan maklumat serta komunikasi 11.5%, menunjukkan minat dan peluang perniagaan yang semakin berkembang dalam sektor kreatif dan digital.
Bagi penutupan perniagaan, Malaysia merekodkan 28,924 penutupan pada 2024, menurun berbanding 33,077 pada 2023, sekaligus menurunkan kadar penutupan kepada 3.9% berbanding 4.7% sebelum itu.
Penutupan tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur iaitu 9,793 perniagaan, Selangor (7,701) dan Johor (2,969) manakala kadar penutupan tertinggi adalah di Perlis 4.7%, Kelantan 4.6% dan Putrajaya 4.5%.
Mengikut sektor, perlombongan dan kuari mencatat kadar penutupan tertinggi 5.1% (perlombongan mineral & kuari 5.2%, petroleum & gas asli 4.6%), diikuti perkhidmatan 4.0% dan pertanian 3.9%.
Data itu membuktikan walaupun ekonomi negara menghadapi cabaran, perniagaan tempatan masih menunjukkan daya tahan dan sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu pertumbuhan. - DagangNews.com








