KUALA LUMPUR 13 Mac — Penggunaan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dalam kalangan belia di Malaysia menimbulkan kebimbangan apabila mereka yang berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40% daripada keseluruhan transaksi BNPL di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun BNPL hanya mewakili sebahagian kecil daripada hutang isi rumah, peningkatan pesat penggunaannya dalam kalangan pengguna muda termasuk untuk membeli keperluan harian mencerminkan cabaran berkaitan tahap gaji yang lebih mendalam.
Beliau berkata keadaan itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan risiko kewangan dalam kalangan pengguna muda.
“Pertama, kita perlu menguruskan risiko daripada penyedia kredit yang tidak dikawal selia kerana penyedia BNPL, syarikat kutipan hutang serta pengendali lain di luar sistem kewangan tradisional tidak dilindungi di bawah undang-undang sedia ada.
“Ini boleh mewujudkan risiko seperti syarat yang tidak adil, yuran tersembunyi dan amalan kutipan hutang yang agresif,” katanya ketika berucap pada acara “Navigating Malaysia’s New Credit Landscape” pada Khamis.
Menurut beliau, pengawasan industri kredit ketika ini juga melibatkan pelbagai kementerian dan agensi yang beroperasi dengan mandat serta piawaian berbeza.
Katanya, keadaan tersebut meningkatkan risiko penguatkuasaan yang tidak konsisten serta membuka ruang kepada tingkah laku tidak bertanggungjawab dalam industri.
Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan Akta Kredit Pengguna 2025 (CCA) bagi memperkukuh rangka kawal selia kredit pengguna di negara ini.
Akta tersebut diluluskan Parlimen pada 2025, diwartakan pada 31 Disember 2025 dan mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2026.
Menurut Liew, antara komponen utama akta itu ialah penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang akan mengawal selia enam sektor yang sebelum ini tidak dikawal selia termasuk penyedia BNPL, syarikat pajakan dan pemfaktoran, agensi kutipan hutang, pembeli pinjaman bermasalah serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang.
“Akta ini turut menubuhkan jawatankuasa penasihat bagi meningkatkan penyelarasan antara kementerian dan agensi serta memastikan penguatkuasaan yang lebih konsisten,” katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna selain mewujudkan persaingan yang lebih adil dalam industri kredit.
Pada masa sama, beliau berkata pindaan terkini terhadap Akta Sewa Beli 2025 (HPA) yang menggantikan kaedah pengiraan faedah lama dengan kaedah yang lebih telus turut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh perlindungan pengguna.
Liew berkata pelesenan bagi penyedia kredit serta pendaftaran bagi penyedia perkhidmatan kredit akan bermula pada 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Beliau turut menegaskan bahawa agensi pelaporan kredit (CRA) memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem kredit negara dengan menyediakan data kredit yang boleh dipercayai bagi membantu pemberi pinjaman membuat keputusan lebih tepat.
“Walaupun Central Credit Reference Information System (CCRIS) kekal sebagai sumber utama maklumat kredit berkaitan perbankan, CRA mempunyai potensi untuk memperluaskan akses kepada data kredit bukan perbankan bagi mengurangkan jurang maklumat serta mencegah masalah hutang berlebihan,” katanya. - BERNAMA








