KUALA LUMPUR 27 Feb - Struktur modal, kemerosotan nilai hartanah komersial di 100 Cheapside United Kingdom (UK) dan penurunan kadar penghunian di Menara Capsquare, Kuala Lumpur merupakan antara tiga punca utama tujuh syarikat subsidiari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) catat kerugian sebanyak RM80 juta pada 2023.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, struktur modal merupakan punca utama kerugian lima syarikat subsidiari iaitu Prima Harta 3 (Lux) S.a.r.l (hartanah gudang logistik), Prima Harta U (Jersey) Limited (hartanah komersial), Prima Harta 4 (Jersey) Limited (hartanah penginapan pelajar), Prima Harta 5 (Jersey) Limited (hartanah komersial) dan Prima Harta 6 (Jersey) Limited (hartanah Gudang).
Katanya, Prima Harta 3 (Luxembourg) merupakan syarikat tujuan khas (SPV) yang didaftarkan di Luxembourg, namun aset dimiliki sebenarnya merupakan gudang logistik Zalando di Jerman dan ia ditubuhkan atas kecekapan struktur untuk pertimbangan cukai dan pelaburan tersebut dibiayai melalui pinjaman pemegang saham daripada KWAP.
"Berhubung kerugian dicatatkan oleh Prima Harta 3, ia diakibatkan bayaran faedah atas pinjaman kepada KWAP yang merupakan sebahagian daripada pulangan atas pelaburan tersebut. Jika dikeluarkan bayaran faedah kepada KWAP, aset gudang tersebut menunjukkan keuntungan operasi.
"Nilai semasa gudang ialah €132 juta iaitu 40% lebih tinggi daripada harga belian iaitu €92 juta," katanya semasa ucapan penggulungan Laporan Ketua Audit Negara berhubung penyata kewangan kerajaan pada 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, empat lagi syarikat subsidiari Prima Harta yang lain yang didaftarkan di Jersey, sebenarnya merujuk kepada hartanah di United Kingdom. SPV didaftarkan di Jersey atas pertimbangan percukaian dan pelaburan ini juga dibiayai melalui pinjaman daripada KWAP.
"Ingin saya mengesahkan bahawa setiap aset hartanah yang berkaitan sebenarnya menjana keuntungan di peringkat KWAP.
"Penstrukturan modal subsidiari KWAP tersebut dibuat supaya meningkatkan kecekapan daripada perspektif cukai selain untuk meningkatkan pulangan pelaburan kepada KWAP," katanya.
Beliau berkata, bagi kategori dua iaitu kerugian hartanah komersial 100 Cheapside di UK, di bawah syarikat Prima Harta 5 (Jersey) Unit Trust (PH5) dan Prima Harta 5 (Jersey) Limited disebabkan kemerosotan nilai hartanah yang berlaku akibat kenaikan kadar faedah sehingga menyebabkan kejatuhan nilai saksama hartanah di seluruh UK antara tahun 2021 hingga 2023.
Katanya, prestasi kewangan Prima Harta 5 (Jersey) telah menunjukkan pemulihan dengan penghunian tinggi iaitu mencapai 99.6% dan telah mencatat keuntungan pada tahun 2024.
Bagi kategori ketiga, Menteri Kewangan II berkata, kerugian di Menara Capsquare di bawah Capsquare Tower Sdn. Bhd. disebabkan penurunan kadar penghunian.
Susulan itu, KWAP telah mengambil langkah melantik ejen pemasaran luar bagi meningkatkan kadar penghunian bangunan dan memperkenalkan kadar sewaan yang lebih kompetitif untuk menarik penyewa baharu.
"Walaupun Menara Capsquare mengalami masalah kadar penghunian yang rendah, nilai semasa tahun 2024 adalah sebanyak RM505 juta, iaitu 8% lebih tinggi daripada harga belian berjumlah RM466.8 juta.
"Aset-aset pelaburan hartanah lain yang dipegang KWAP merekodkan kadar penghunian yang baik dan memberi pulangan bersih yang positif. Pengurusan KWAP sentiasa memantau prestasi syarikat subsidiari terlibat," katanya.- DagangNews.com








