2 anak syarikat Felda rugi RM165 juta kerana pembayaran faedah tinggi kepada GOVCO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2 anak syarikat Felda rugi RM165 juta kerana pembayaran faedah tinggi kepada GOVCO

KUALA LUMPUR 28 Feb - Dua anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerugian sebanyak RM165 juta disebabkan pembayaran faedah sebanyak RM136 juta kepada GOVCO Holdings Bhd berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 dalam Penyata Kewangan Agensi Persektuan 2023.

 

Felda dalam satu kenyataan berkata, kerugian itu juga berpunca daripada penjejasan nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu akibat penurunan harga pelaburan saham pada 2023 sebanyak RM25 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Dalam laporan yang sama, sembilan lagi anak syarikat Felda merekodkan keuntungan.

 

 

"Felda komited untuk terus pastikan kedudukan kewangan yang kukuh dan mampan dengan mengambil langkah strategik bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta mengurangkan risiko kewangan," katanya.

 

Kenyataan itu juga memaklumkan Felda akan terus mengukuhkan kawalan kewangan dan memperbaiki prestasi anak-anak syarikat bagi memastikan kestabilan, berdaya tahan dan berada di landasan yang betul.

 

Terdahulu, sebanyak 40 anak syarikat daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan tertinggi pada 2023.

 

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, agensi itu menerusi 21 anak syarikatnya mencatatkan kerugian bernilai RM941 juta.

 

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima syarikat subsidiari pula mencatatkan kerugian bernilai RM720,000 juta diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) rugi sebanyak RM690 juta melalui empat syarikat subsidiari manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kesusutan sebanyak RM0.14 bilion (lapan syarikat subsidiari). - DagangNews.com