KUALA LUMPUR 5 Nov – Sebanyak 143 projek pelaburan pusat data diluluskan di Malaysia dari tahun 2021 hingga 30 Jun 2025, dengan jumlah pelaburan mencecah RM144.4 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 25 projek berstatus Malaysia Digital (MD) telah menerima insentif Digital Ecosystem Acceleration Scheme (DESAC), yang dijangka mewujudkan 1,429 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.
“Kerajaan komited memastikan pembangunan pusat data bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi turut memacu pertumbuhan seluruh rantaian bekalan domestik serta mewujudkan pekerjaan bergaji setimpal bagi warga Malaysia,” katanya ketika menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (Sibu) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, pusat data merupakan infrastruktur utama dalam pembangunan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dan hala tuju kerajaan adalah memastikan pelaburan sektor ini berteraskan pendekatan “whole-of-value-chain investment”.
“Ini termasuk menjadikan pusat data sebagai offtaker atau pengguna tenaga boleh baharu, menggalakkan pembangunan rantaian bekalan tempatan untuk peralatan pusat data, serta memperluas penggunaan AI dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Pasukan Petugas Pusat Data (Data Centre Task Force – DCTF) telah ditubuhkan bagi menyelaras dasar pembangunan industri ini secara lestari.
Pasukan itu dipengerusikan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital (KD), serta dianggotai Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan agensi berkaitan lain.
Mengulas mengenai unjuran penggunaan tenaga, beliau berkata, data daripada Suruhanjaya Tenaga menunjukkan bahawa penggunaan elektrik sebenar pusat data di seluruh negara setakat Jun 2025 adalah sebanyak 603 megawatt (MW).
Jumlah itu, katanya, adalah sekitar 47% daripada keperluan maksimum (Maximum Demand, MD) yang diisytiharkan iaitu 1,276MW.
“Bagi menjamin kestabilan sistem tenaga, sasaran penggunaan adalah 85% daripada MD yang diisytihar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Suruhanjaya Tenaga telah melaksanakan analisis keperluan tenaga yang lebih teliti untuk mengenal pasti permohonan bersifat spekulatif, bagi mengelakkan risiko aset tenaga tidak digunakan (stranded asset) dan peralihan kos kepada pengguna lain.
Selain itu, proses Request for Information (RFI) turut dilaksanakan bagi mengumpul data terperinci daripada pengendali pusat data untuk perancangan bekalan elektrik yang lebih cekap dan mampan.
Dalam aspek penggunaan air, Tengku Zafrul berkata, data daripada operator air di Selangor dan Johor menunjukkan penggunaan air oleh pusat data masih terkawal dan tidak menjejaskan bekalan kepada pengguna lain.
Di kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, penggunaan air pusat data hanya sekitar 0.47 juta liter sehari (JLH), bersamaan 0.012% daripada jumlah penggunaan keseluruhan air domestik dan bukan domestik di kawasan tersebut sebanyak 3,879 JLH.
Sementara itu, di Johor, penggunaan air oleh pusat data berjumlah 9.07 JLH, iaitu hanya 0.6% daripada jumlah penggunaan keseluruhan negeri sebanyak 1,511 JLH.
“Strategi kerajaan adalah memastikan pelaburan pusat data dan AI berkembang seiring dengan keselamatan sumber tenaga dan air negara,” katanya.
“Pendekatan berasaskan perancangan menyeluruh ini akan memastikan industri pusat data dapat terus berkembang tanpa menjejaskan daya tahan sumber negara dalam jangka panjang,” jelas beliau.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan melalui DCTF akan terus menilai dasar, infrastruktur dan insentif pelaburan bagi memastikan ekosistem pusat data Malaysia kekal kompetitif, lestari dan menarik kepada pelabur berteknologi tinggi. - DagangNews.com








