KUALA LUMPUR 16 Dis - Tempahan kenderaan mulai pulih walaupun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah berakhir 30 Jun lalu dipacu terutamanya dengan pelancaran model baharu.
Penganalisis RHB Research, Jim Lim Khai Xhiang berkata, kebanyakan jenama kenderaan menyaksikan peningkatan bulan ke bulan secara beransur-ansur, kerana pengguna mula menyesuaikan diri dengan harga termasuk SST.
Katanya, berbanding purata separuh pertama 2022, tempahan merosot dengan ketara pada Julai, susut antara 30 hingga 50%.
"Tempahan untuk beberapa jenama kembali ke tahap yang dicatatkan pada awal tahun ini, kerana pelancaran produk baharu mendorong kepada peningkatan tempahan.
"Sebagai contoh, pesanan semasa tertunggak Perodua sebanyak 200,000 sebahagiannya didorong oleh Alza baharu, yang terbukti sangat popular," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku ketiga 2022, syarikat automotif di bawah liputan RHB Research merekodkan prestasi melebihi jangkaan memandangkan unit jualan terus meningkat.
MBM Resources, UMW Toyota dan Bermaz Auto mengatasi jangkaan manakala jualan kenderaan Sime Darby melebihi jangkaan firma. Sebaliknya, hanya Tan Chong Motor merekodkan unit jualan yang lebih rendah daripada jangkaan.
Khai Xhiang juga mendapati kesesakan rantaian bekalan juga terus berkurangan dan syarikat memanfaatkannya untuk memenuhi pesanan tertunggak daripada pelanggan.
"Oleh itu, kami menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) akan mencatat rekod baharu, melepasi paras 700,000 unit tahun ini, didorong keputusan suku keempat yang lebih kukuh," katanya.
Namun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif setelah mengambil kira pertumbuhan yang lebih perlahan pada 2023. - DagangNews.com








