Telefon pintar China catat jualan paling rendah dalam tempoh 10 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Telefon pintar China catat jualan paling rendah dalam tempoh 10 tahun

SHANGHAI 30 Jan - Jualan telefon pintar China menjunam 13% tahun ke tahun pada 2022, kejatuhan terbesar bagi sektor itu dalam sedekad memandangkan pengguna lebih berhati-hati berbelanja, lapor Reuters memetik laporan firma penyelidikan IDC.

 

Jumlah peranti yang dihantar pada tahun lalu adalah 286 juta berbanding 329 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ini merupakan jualan terendah sejak 2013 dan kali pertama jumlah tersebut menurun di bawah 300 juta.

 

“Pembuat telefon bimbit android Vivo merupakan jenama terlaris sepanjang tahun dengan bahagian pasaran sebanyak 18.6%.

 

"Bagaimanapun, jumlah penghantarannya turun 25.1% tahun ke tahun,” jelas laporan itu.

 

Jenama kedua terlaris, Honor, mencatatkan peningkatan penghantaran lebih daripada 34% walaupun daripada asas yang rendah.

 

Sementara itu, Apple Inc berada di kedudukan ketiga setara dengan Oppo pada tahun lepas.

 

Jualan keseluruhan Apple menurun 4.4% tahun ke tahun yang secara amnya mengatasi kemerosotan pasaran.

 

“Pada suku keempat, jualan iPhone masih menurun memandangkan terdapat isu rantaian bekalan.

 

“Ini disebabkan kekacauan pekerja di kilang pengeluar Foxconn di bandar Zhengzhou," katanya.

 

Menurut Reuters, perkara ini menambah kepada permintaan yang lebih teruk daripada jangkaan.

 

Kawalan COVID-19 yang ketat di China ditingkatkan pada musim bunga tahun lalu di beberapa bandar telah membebankan ekonomi negara itu yang merosot ke salah satu tahap paling teruk dalam hampir setengah abad.

 

Kejatuhan jualan telefon pintar di China mencerminkan prestasi sektor itu di peringkat global.

 

Data IDC menunjukkan, penghantaran telefon bimbit mencecah 1.2 bilion pada 2022, jumlah terendah sejak 2013 dan kejatuhan tahun ke tahun melebihi 11%. - DagangNews.com