KUALA LUMPUR 7 April - Teach For Malaysia, organisasi bukan untung, bekerjasama dengan Yayasan Micron dalam Program Fellowship perdananya untuk mempercepatkan impak pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, organisasi itu boleh merekrut dan melatih guru berkualiti untuk ditempatkan di sekolah rentan, memupuk kerjasama dalam kalangan pengajar dan memberi peluang kepada anggota dan pelajar Micron daripada komuniti tersebut untuk mempromosi pendidikan STEM.
Menurut satu kenyataan bersama hari ini, sokongan Micron membolehkan Teach For Malaysia terlibat dengan 57 guru, menjangkau lebih 8,550 pelajar di sekolah kurang diberi perhatian di Perak dan Sarawak pada 2023.
“Teach For Malaysia sedang berusaha ke arah membina pergerakan pemimpin harapan untuk memperkasakan pelajar dalam komuniti B40 bagi memulihkan mereka yang ketinggalan pelajaran dan membina kemahiran diperlukan sebagai persediaan masa hadapan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng.
Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha global di bawah Teach For All, di mana Teach For Malaysia adalah salah satu gabungannya.
Di peringkat global, Teach For All telah mewujudkan Inisiatif Kerja Masa Depan yang melibatkan perkongsian pelbagai pihak, menghimpunkan perniagaan dan rangkaian global pelajar, guru dan komuniti bagi perbincangan cara pendidikan agar pelajar bersedia untuk masa hadapan serta memperkasakan kanak-kanak dan belia berkembang maju.
Di bawah inisiatif ini, Teach For All dan rakan kongsi rangkaiannya telah mewujudkan perkongsian asas dengan Micron bagi membina laluan bakat STEM bagi menyediakan pelajar sebagai tenaga kerja dan membantu guru dengan sumber dan sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya, kata organisasi itu dalam kenyataan tersebut.
Melalui inisiatif tersebut dan dengan kerjasama Micron, organisasi tersebut komited melabur secara langsung dalam pembangunan profesional pemimpin guru yang berada pada kedudukan terbaik untuk memberi inspirasi dan membimbing pelajar ke arah STEM dan kerjaya masa depan.
Mulai 2020, organisasi itu telah memperluaskan kerjanya untuk turut melatih 985 guru STEM dalam perkhidmatan sekolah awam di bawah Program Duta Guru, di mana Teach For Malaysia adalah rakan pelaksana, dengan kerjasama Yayasan Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Program ini bertujuan untuk memperkasakan seramai 4,500 guru STEM dan mencecah 3,960,000 pelajar menjelang 2030.
Organisasi tersebut juga terus memberi tumpuan untuk membangunkan kepimpinan guru dengan melatih mereka untuk memudahkan set kemahiran pembelajaran termasuk STEM bersepadu dan aplikasi Proses Reka Bentuk Kejuruteraan (EDP) dalam bilik darjah dan menjalankan projek inovasi sosial dalam komuniti. -DagangNews.com








