TDM sasar tingkatkan pendapatan segmen penjagaan kesihatan dalam tempoh lima tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TDM sasar tingkatkan pendapatan segmen penjagaan kesihatan dalam tempoh lima tahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - TDM Berhad akan menumpukan kepada peningkatan pendapatan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Kumpulan itu berkata segmen penjagaan kesihatan akan meningkatkan kapasitinya melalui penambahan katil dan meluaskan lagi perkhidmatan dengan menawarkan rawatan sub-kepakaran baharu.

 

“TDM turut merancang untuk mengguna pakai pendekatan ‘asset-light’ dengan mengembangkan rangkaian hospitalnya melalui pengaturan pajakan dan jualan-pajakan balik.

 

“Strategi ini juga akan sekaligus membantu dalam usaha mendapatkan tapak brownfield serta pembangunan kemudahan baharu. Melalui pelaksanaan pendigitalan, kumpulan komited untuk menambah baik keseluruhan pengalaman pesakit dan mengoptimumkan prestasi operasi,” katanya susulan Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-58 TDM hari ini.

 

TDM berkata ia telah berjaya mengambil alih Hospital Pakar Tawau dan menjenamakan semula sebagai KMI Tawau Medical Centre (KMI Tawau), di mana ia telah memulakan pembinaan sambungan baharu di hospital tersebut, menambah kapasiti sebanyak 52 katil yang dijadualkan siap menjelang suku keempat 2024.

 

Selain itu, kumpulan itu juga sedang mempergiatkan kehadiran jenamanya di kawasan geografi terpilih dan mengukuhkan pengiktirafan jenamanya dalam pasaran sedia ada dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan kos efektif kepada masyarakat.

 

Projek perintis yang melibatkan iWard, penyelesaian pengurusan wad pintar, telah dijalankan di Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya dan dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

 

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, "Melihat kepada kewangan semasa dan halatuju yang disasarkan, kami yakin dengan keupayaan kami untuk memacu pertumbuhan jangka panjang dan meningkatkan operasi.”

 

 

Najman Kamaruddin
Najman Kamaruddin

 

 

"Tumpuan kami pada inisiatif teknologi, memanfaatkan kuasa mekanisasi dan pendigitalan akan menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini," tambahnya.

 

Selain itu, beliau berkata TDM secara aktif mempertimbangkan peluang untuk mengembangkan perniagaan, secara organik dan bukan organik, bagi mencipta nilai jangka panjang buat pemegang saham.

 

Saham TDM ditutup hari ini pada 17 sen, naik 0.5 sen atau 3% dengan modal pasaran RM293 juta. -DagangNews.com