KUALA LUMPUR 2 Mei - Tasco Berhad mengungguli sektor logistik dengan strategi yang kukuh walaupun berhadapan dengan tahun mencabar, kata RHB Investment.
Firma penyelidikan itu berkata sedemikian susulan laporan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) yang berada dalam jangkaannya dan Street sebanyak 97% dan 102%.
“Pendapatan pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) telah merosot 32.1% suku ke suku (QoQ) akibat kadar pengangkutan yang jauh lebih rendah yang menyebabkan keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen penyelesaian perniagaan antarabangsa (IBS) turun 49%,” ulasnya dalam nota hari ini.
Bagaimanapun, kata firma itu, model perniagaannya yang pelbagai membantu mengekalkan pendapatan bagi suku tersebut, di samping impak lebih ketara daripada insentif cukai segmen penyelesaian logistik bersepadu (ILS), yang mengekalkan keuntungan keseluruhannya.
Menurut firma itu, segmen penyelesaian perniagaan domestik (DBS) telah meningkat disebabkan pertumbuhan kontrak logistik sebanyak 10% tahun ke tahun (YoY), menyokong kelemahan pada kedua-dua penyelesaian perniagaan antarabangsa (IBS) dan rantaian bekalan sejuk.
Bahagian perniagaan baharu dalam IBS iaitu penyelesaian rantaian bekalan (SCS) telah menyaksikan pertumbuhan 75.9% YoY kepada RM30.8 juta disebabkan kehadiran globalnya yang kukuh, membolehkannya berkembang ke ruang logistik pihak keempat (4PL).
Di samping itu, kumpulan itu mempunyai strategi yang kukuh walaupun terdapat tekanan sektor yang akan membantu memberikan sedikit keterlihatan pendapatan berbanding ketika era kadar pengangkutan dinaikkan apabila kebanyakannya adalah aturan jangka pendek, katanya.
“Walaupun pendapatan segmen kargo untuk pemain logistik sepatutnya turun naik disebabkan oleh kadar pertumbuhan perlahan, pendapatan bersih kumpulan diimbangi keupayaannya dalam mendapatkan kadar pengangkutan laut dengan pelanggan dan rundingan dengan barisan perkapalan untuk margin dan kepastian volum lebih baik,” jelasnya.
Selain itu, ruang gudang baharu di Westport dan Shah Alam akan siap menjelang November 2023 dan Januari 2024 untuk menyediakan pemangkin pertumbuhan bagi kumpulan itu pada FY24 dan FY25.
Walaupun FY23 dalam jangkaan, firma itu kekal konservatif pada segmen IBS, memandangkan ketidaktentuan permintaan dan kadar tambang yang rendah.
“Bagaimanapun, kami percaya strategi yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan akan mengekalkan pendapatan. Kelemahan pendapatan IBS harus diimbangi oleh kekuatan kumpulan dalam segmen perniagaan lain dan rancangan pengurusan berkesan, ditambah pula dengan insentif cukai ILS yang mungkin berguna untuk mengekalkan pendapatan,” katanya.
Oleh itu, firma itu mengurangkan pendapatan FY24 sebanyak 1.8% dan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.83 sesaham daripada RM1.86. -DagangNews.com








