Tart nangka ros - inisiatif Dr Zety Roses martabatkan kuih tradisional, beri peluang jana pendapatan kepada golongan wanita seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Tart nangka ros - inisiatif Dr Zety Roses martabatkan kuih tradisional, beri peluang jana pendapatan kepada golongan wanita seluruh negara

Dr Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad menunjukkan tart nangka ros, satu lagi inovasi baharu Taman Zety Roses. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 20 Julai - Taman Zety Roses (TZR), yang pernah tular sebagai 'Cameron Highlands Terengganu' kini terus menjadi tumpuan golongan wanita untuk mencari sumber pendapatan apabila satu lagi produk baharu dikeluarkan iaitu tart nangka ros.

 

Pemilik TZR, Dr Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad berkata, tart nangka ros adalah adunan resepi tradisional istana zaman dahulu yang telah diinovasi dengan kombinasi nangka & kelopak bunga ros yang wangi. 

 

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Zety Roses berkata, keunikan rasa dan adunan kuih tradisional itu menyebabkan ia terus mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia ketika ini.

 

"Kami mula menjualnya sejak April lalu sebagai alternatif cabang perniagaan baharu selain jualan pokok bunga ros, minyak wangi, keladi dan set baja organik.

 

"Purata jualan bulanan tart nangka ros ialah antara RM25,000 hingga RM40,000 dan sasaran kami ialah lebih RM100,000 sebulan pada Disember depan.

 

"Walaupun masih baru tiga bulan diperkenalkan, sistem pengedaran sedia ada yang mantap di seluruh negara telah melicinkan lagi operasi perniagaan tart nangka ros ini dan TZR akan meningkatkan pengeluaran dalam masa terdekat untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

parafrasa

 

parafrasa

 


TZR yang terletak di Kampung Tanjung Aur dekat Telemong di Hulu Terengganu mula dibangunkan pada tahun 2011 hasil minat mendalam Dr Zety terhadap bunga ros yang terbukti secara klinikal dapat menjadi terapi kepada golongan memerlukan.

 

Antaranya ialah mengurangkan tekanan dan kesakitan yang dialami kerana setiap bunga ros itu mempunyai haruman, warna dan pengaruh berbeza kepada manusia.

 

Ketika ini, TZR adalah pusat nurseri terbesar yang pertama di Malaysia untuk bunga ros di tanah rendah dan menjadi pembekal anak benih serta pusat penyelidikan bunga ros berskala besar di Malaysia setakat ini.


 

parafrasa

 


Mengulas lanjut, bekas Pensyarah Kaunseling dan Psikologi di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu (PPPSE UMT) itu berkata, penggunaan kelopak ros di dalam tart nangka itu juga dapat membangkitkan aroma yang harum dan mempunyai khasiat untuk sesiapa sahaja yang menikmatinya.

 

"Proses pembuatannya sedikit remeh kerana masih dilakukan secara manual dan kita hanya mampu mengeluarkan lebih 100 botol sahaja tart nangka ros setiap hari.

 

"Namun, saya masih dalam beberapa proses kajian untuk menggunakan mesin berteknologi tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti dan pada masa sama mengekalkan kualiti tart nangka ros ini," katanya. - DagangNews.com