KUALA LUMPUR 7 Feb - Pemaju hartanah, Tanco Holdings Bhd, membeli 50.1% kepentingan dalam pengendali platform penyerahan dan pemprosesan jualan hartanah dalam talian bernilai RM20 juta secara tunai.
Kumpulan itu memperoleh kepentingan dalam Gplex Properties Sdn Bhd daripada Googolplex Holdings Bhd yang masih akan memiliki 49.9% kepentingan lain selepas pengambilalihan itu, katanya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.
Selain daripada platform dalam talian, Tanco berkata, Gplex Properties juga memiliki 49% kepentingan dalam agensi hartanah, Gplex Realty Sdn Bhd dengan baki 51% pegangan saham dimiliki oleh CTL Realty Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Gplex Properties mempunyai kawalan lembaga dan pengurusan daripada Gplex Realty.
Tanco juga berkata, pemerolehan kepentingan Gplex Properties datang dengan jaminan keuntungan sebanyak RM4.97 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), RM6.33 juta untuk FY24 dan RM7.52 juta untuk FY25.
Menurut Tanco, ia akan membiayai pengambilalihan itu melalui dana yang dijana secara dalaman.
Googolplex Holdings dahulunya dikenali sebagai China Guotai Construction Group (M) Sdn Bhd.
Ia dimiliki 80.6% oleh Googolplex Group Sdn Bhd (69.2%) dan Googolplex SIG PLT (11.4%) yang dikawal oleh empat pengarah Liang Tiang Kiat, Ong Siang Long, Chao Miew San, Liang Tian Jing dan pemegang saham besar Lee Pang Say.
Tanco berkata, pengembangan ke dalam perniagaan agensi jualan hartanah akan melengkapkan dan meningkatkan objektif pertumbuhannya termasuk peluang berpotensi dengan pemilik bank tanah yang lain.
Kumpulan itu menjangka pengambilalihan itu akan selesai dalam bulan ini. – DagangNews.com








