Takaful Malaysia, Affin Islamic jalin kerjasama strategik bancatakaful tawar produk patuh syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia, Affin Islamic jalin kerjasama strategik bancatakaful tawar produk patuh syariah

Nor Azman Zainal (tiga kiri) bergambar bersama Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (kanan); Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek (kiri) dan Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob (dua, kanan) pada majlis perkongsian bancatakaful strategik antara Takaful Malaysia dan Affin Islamic
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan anak syarikat milik penuhnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad menjalin kerjasama strategik bancatakaful dengan Affin Islamic Bank Berhad untuk menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif patuh syariah di Malaysia.

 

Kerjasama strategik pilihan ini memberi akses kepada Takaful Malaysia terhadap pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Affin Islamic, membolehkan perbankan Islam ini mengembangkan tawaran produknya dalam memberikan nilai lebih besar untuk pelanggannya.

 

Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am memeterai perjanjian perkhidmatan bancatakaful bersama Affin Islamic untuk mempromosikan dan memasarkan produk keluarga dan takaful am yang ditawarkan Takaful Malaysia untuk tempoh lima tahun bermula pada 1 Januari 2023, dengan pilihan Affin Islamic meneruskan kerjasama untuk lima tahun lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, kerjasama strategik selama ini telah berjaya memacu jualan tahunan yang membanggakan serta pertumbuhan keuntungan perniagaan baharu mampan.

 

Beliau berkata, kerjasama bancatakaful melambangkan komitmen mereka menyediakan pelanggan Affin Islamic akses kepada rangkaian produk takaful inovatif untuk memenuhi keperluan perlindungan mereka yang semakin meningkat dan membangunkan penasihat perniagaan takaful keluarga.

 

"Terdapat peluang besar untuk pertumbuhan masa depan dalam perniagaan bancatakaful dan perkongsian strategik pilihan ini juga mencerminkan dedikasi untuk memanfaatkan keupayaan kami memberi manfaat kepada pelanggan Affin Islamic," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Nor Azman, gabungan kepakaran dan pendekatan kolaboratif pihaknya dengan Affin Islamic mewujudkan sinergi sempurna untuk mengukuhkan lagi portfolio perniagaan dalam segmen runcit untuk rangkaian produk takaful dan simpanan keluarga yang komprehensif dan mampu milik serta melengkapkan perniagaan teras sedia ada dalam perniagaan berkaitan kredit. 

 

"Pakatan pilihan kami dengan Affin Islamic adalah penting dalam menyediakan produk dan perkhidmatan takaful yang melindungi dan menyokong pelanggan Affin Islamic pada setiap peringkat perjalanan mereka serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengendali takaful terkemuka di Malaysia," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin pula berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Takaful Malaysia yang bakal memberi impak kewangan dan kini dijangka menjadi material dalam Pelan A25 AFFIN. 

 

Katanya, kerjasama ini akan membuka peluang kepada pelanggan untuk mendapat manfaat daripada rangkaian luas produk dan penyelesaian takaful keluarga dan am.

 

“Adalah penting untuk kita menyesuaikan diri dengan cepat kepada persekitaran perniagaan yang dinamik melalui inovasi dan produk yang lebih baik untuk kekal relevan dalam pasaran. 

 

"Kami yakin semua usaha ini akan menyumbang ke arah mengubah Affin menjadi bank yang lebih progresif dan moden,” katanya. - DagangNews.com