TAIPING 29 Ogos - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah menganjurkan Taiping Bird Week (TBW) yang berlangsung selama seminggu.
Program yang dianjurkan sejak tahun 2017 bagi mengkaji, merekod dan mewujudkan pengkalan data burung-burung yang terdapat di Taiping.
Ia untuk tujuan promosi dalam bidang Eco Tourism serta Avi Tourism.
Acara seumpama ini telah berjaya membuka mata orang ramai, khususnya kepada peminat-peminat burung untuk mendekati kelebihan ini menerusi aktiviti ‘bird watching’ dan ‘bird photography’.
TBW diteruskan dengan penganjuran edisi kedua pada tahun 2021 dan edisi ketiga pada tahun 2022.

Memasuki edisi keempat, TBW 2023 menyediakan aktiviti seperti pameran foto spesies burung di Taiping, pameran dan jualan pelbagai agensi, ‘Bird Talk’ dan pertandingan fotografi.
Turut dianjurkan ialah Pertandingan Taiping Bird Race bagi kategori terbuka dan kategori pelajar sekolah.
Pada tahun ini, TBW 2023 menerima penyertaan seramai 146 peserta dari Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur, Perlis dan tujuh peserta dari Singapura.
Berdasarkan bilangan cerapan pertandingan Taiping Bird Race kategori terbuka, sebanyak 86 spesies burung telah direkod.

Manakala bilangan cerapan bagi kategori sekolah pula sebanyak 32 spesies burung direkodkan.
Ini menunjukkan bahawa Taiping merupakan daerah yang kaya dengan kepelbagaian spesies burung.
Terdahulu majlis perasmian penutup TBW 2023 telah disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Orang Besar Jajahan Larut, Matang & Selama, Dato' Haji Wan Mohd Isa Dato' Haji Wan Razali dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Teh Kok Lim. - DagangNews.com









