Tahun 2024 bakal saksikan perolehan tiga buah LMS, 12 helikopter TUDM dinoktahkan | DagangNews Skip to main content

Tahun 2024 bakal saksikan perolehan tiga buah LMS, 12 helikopter TUDM dinoktahkan

Korvet kelas Ada yang menjadi calon LMS TLDM.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 2 Jan - Tahun 2024 akan membawa perubahan besar dalam rancangan perolehanan Kementerian Pertahanan (Mindef) apabila beberapa perkara yang telah dibuat bakal dinoktahkan.

 

Ini adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM19.7 bilion yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2024.

 

Walaupun perbelanjaan ini masih lagi dilihat kecil berbanding keperluan sebenar namun setidaknya ia menampakkan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Paling dinantikan tahun ini ialah keputusan memilih syarikat mana yang bakal terlibat dalam projek kapal misi pesisir kumpulan kedua (LMS Batch 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Lms
Calon LMS Batch 2 TLDM perlu dilakukan agar proses pembinaan kapal dapat dimulakan segera.

 

Justeru, Mindef dijangka membuat keputusan tersebut pada suku pertama tahun ini yang mana kontrak akan dimeterai segera agar fasa awal projek boleh dimulakan.

 

Tiga buah kapal LMS daripada rancangan lapan buah kesemuanya ini melibatkan perbelanjaan besar iaitu dianggarkan bernilai RM6.6 bilion.

 

Bakinya pula semasa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

Mindef pada Disember lepas telah pun mengumumkan bahawa kapal buatan Turkiye akan menjadi pilihan bagi LMS Batch 2 TLDM, cuma syarikat yang terpilih belum diputuskan.

 

Pemilihan Turkiye dibuat memandangkan limbungan perkapalan negara tersebut memiliki keupayaan dan teknologi untuk menyiapkan tempahan nanti.

 

Lms
TLDM memerlukan kapal-kapal perang yang lebih moden dan berteknologi mutakhir untuk melakukan rondaan.

 

LMS yang akan dibina berasaskan rekaan kapal korvet ini penting untuk mengimbangi kehendak TLDM khususnya melaksanakan operasi rondaan di Laut China Selatan yang mencabar.

 

Kapal-kapal ini akan menjadi aset yang kuat buat TLDM apabila dilengkapi dengan sistem peluru berpandu antipermukaan dan antikapal.

 

Difahamkan, syarikat Turkiye yang bersaing telah mengetengahkan rekaan masing-masing seperti STM dengan korvet kelas Ada, korvet Dearsan C92 manakala TAIS Shipyard dengan OPV 92.

 

Perolehan kedua yang juga dinantikan ialah calon helikopter saiz sederhana Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan jumlah yang hendak dibeli sebanyak 12 buah.

 

LMS
Kebanyakan aset-aset TLDM berusia lebih 40 tahun.

 

Perbelanjaan untuk mendapatkan pesawat-pesawat ini telah pun diumumkan semasa pembentangan belanjawan lalu.

 

Mengikut hasrat TUDM, pemilihan pesawat sepatutnya diputuskan pada Disember lepas namun ia tidak dapat dilakukan.

 

Seperti mana LMS, TUDM dijangka mengumumkan helikopter yang dikehendaki pada pertama tahun ini iaitu sebagai hadiah bagi sambutan ulang tahun pasukan itu pada Jun nanti.

 

Ini kerana pengumuman itu akan menjadi penyuntik semangat yang besar buat warga TUDM khususnya generasi baharu yang dikenali sebagai ‘Air Force Next Generation’.

 

Helikopter

 

Helikopter
Helikopter UH-60M boleh melakukan pengisian minyak di udara.

 

Walaupun calon pesawat masih belum diketahui tetapi sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis helikopter untuk dipertimbangkan sesuai dengan kehendak TUDM bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR).

 

Calon paling hampir ialah helikopter Airbus H225M memandangkan ia mempunyai persamaan dengan pesawat EC725 AP sedia ada.

 

Perolehan 12 buah helikopter Airbus H225M juga bakal memberi kelebihan pada aspek logistik dan selenggaraan kerana ia telah pun mempunyai rangkaian tersebut.

 

Begitu juga daripada segi latihan dan penyesuaian kerana TUDM telah mempunyai barisan juruterbang serta jurulatih penerbangan yang mahir dalam pengendalian helikopter sama.

 

Helikopter
Helikopter Leonardo AW139 versi ketenteraan.

 

Rekod pengoperasian yang baik pada helikopter EC725 AP juga penting pada TUDM.

 

Dengan 12 buah Airbus H225M dicampur 12 helikopter EC725 AP menjadikan TUDM sebagai antara pengguna terbesar helikopter buatan Airbus ini iaitu 24 buah kesemuanya.

 

Pesaing terdekat ialah helikopter Sikorsky UH-60M Black Hawk iaitu jenis sama yang digunakan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk misi CSAR.

 

Helikopter yang dibina atas platform Black Hawk ini direka bentuk untuk memenuhi keperluan operasi jarak jauh dan ancaman tinggi untuk Tentera Udara AS.

 

Helikopter
Helikopter H225M

 

Sikorsky UH-60M Black Hawk menjadi tunjang dalam banyak misi mencabar, apatah lagi dengan reputasi tinggi Black Hawk sepanjang 40 tahun dioperasikan.

 

Turut bersaing ialah helikopter Leonardo AW139 versi ketenteraan yang mana AW139 juga menjadi helikopter saiz sederhana yang paling banyak dioperasikan pasukan keselamatan Malaysia.

 

TUDM ketika ini juga menggunakan empat helikopter AW139 yang diperoleh menerusi kaedah sewaan.

 

Apa pun, adalah diharapkan tahun 2024 menjadi permulaan yang baik kepada Mindef dalam merealisasikan pembangunan ATM. - DagangNews.com