Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Sept. - MIDF Research menyemak semula harga sasaran Cahya Mata Sarawak Bhd. (CMS) lebih rendah kepada RM1.62 berbanding RM2.30 di sebalik prestasi kewangan suku kedua kumpulan yang lebih baik.
Firma itu juga menambat nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang lebih rendah sebanyak 8.3x (berbanding 11.3x sebelum ini) kepada pendapatan sesaham (EPS) kumpulan sebanyak 19.5 sen.
Penganalisisnya, Ummar Fitri berkata, semakan PER lebih rendah itu mengambil kira kenaikan jangkitan COVID-19 di Malaysia timur dan tadbir urus korporat kumpulan yang dilihat dalam situasi yang kurang baik.
"Tadbir urus korporat masih diselubungi dengan siasatan bebas yang masih dijalankan ekoran kerugian menerusi cabang pembinaannya beberapa tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih CMS melonjak 184% kepada RM47.39 juta berbanding RM16.71 juta bagi tempoh sama tahun lalu apabila ekonomi dibuka semula dan sekatan pergerakan dilonggarkan.
Perolehan kumpulan juga meningkat 32% kepada RM185 bilion daripada RM139.88 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini menjadikan untung bersih CMS bagi separuh pertama berjumlah RM125 juta berbanding RM33.9 juta tahun lalu.
Menurut Ummar, prospek perolehan dan hasil kumpulan kekal kukuh pada masa akan datang berikutan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pembinaan.
Tambahan pula, katanya, operasi perniagaan kumpulan tidak banyak terkesan dengan sekatan pergerakan kerana ia dikategorikan sebagai perkhidmatan penting bagi aktiviti pembinaan di Sabah dan Sarawak.
"Prospek kumpulan juga disokong oleh nilai projek yang kukuh kira-kira RM1.03 bilion bagi segmen pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang menyumbang kepada hasil kumpulan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.
"Malah, kami juga melihat perniagaan CMS dalam rantaian bekalan pembinaan akan mendapat manfaat utama menerusi projek mega di Sabah dan Sarawak, antaranya Sarawak-Sabah Link Road, Coastal Road dan Trans-Borneo Highway," jelasnya.
Dengan mengambil kira semua faktor ini, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham CMS.
"Kami juga menjangkakan perniagaan teras CMS akan meningkat pada separuh kedua tahun ini," katanya. - DagangNews.com








