KUALA LUMPUR 15 Dis - Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang tular di media sosial tentang tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan juga kriteria pemeriksaan kesihatan.
Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, berita tidak sahih tersebut telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan TH menerima banyak pertanyaan mengenainya.
Beliau berkata, TH akan memaklumkan tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah haji terpilih bagi musim haji 1444H/2023M menerusi platform-platform komunikasi rasmi TH kelak.
"Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji tahun ini daripada TH yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya untuk musim haji tahun ini telah diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, setelah tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan.
Dalam pada itu, TH sedang menganjurkan kursus asas haji selama 13 minggu bermula 25 November sehingga 17 Februari 2023.
Ia sebagai persediaan melengkapkan bakal-bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di Tanah Suci.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919. - DagangNews.com








