Tabung Haji buka permohonan rayuan haji melalui aplikasi THiJARI bermula 19 April 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tabung Haji buka permohonan rayuan haji melalui aplikasi THiJARI bermula 19 April 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji melalui aplikasi THiJARI bagi tahun 1443H/2022 bermula 19 April 2022 sehingga 18 Mei 2022.

 

Pemohonan secara dalam talian itu adalah kemudahan yang disediakan TH bagi membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat secara fizikal.

 

Menurut Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abul Rahman, TH membuka permohonan rayuan haji sebelum jumlah kuota diumumkan sebagai langkah untuk mengelakkan proses rayuan haji dilakukan pada saat akhir. 

 

"Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria-kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberikan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Aplikasi THiJARI boleh dimuat naik secara percuma daripada Google Play atau App Store. Ia akan memudahkan pendeposit untuk membuat rayuan haji, membuat semakan status haji dan juga pertanyaan baki simpanan.

 

Pendeposit hanya perlu melakukan tiga langkah sahaja untuk mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI;

 

1. Dapatkan capaian melalui www.thijari.com.my (telefon pintar/komputer/laptop dan lain-lain).

 

2. Pendeposit hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor akaun TH.

 

3. Memasukkan nombor telefon bimbit yang telah didaftarkan serta maklumat peribadi. Sebaik selesai, pendeposit boleh mula menggunakan perkhidmatan THiJARI.

 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila lawati www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. - DagangNews.com