TA Securities beri penarafan 'beli' terhadap Coastal Contracts, hasil FY22-FY23 dijangka kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities beri penarafan 'beli' terhadap Coastal Contracts, hasil FY22-FY23 dijangka kukuh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Mei - TA Securities memulakan liputan terhadap Coastal Contracts Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham. 

 

Firma itu menjangkakan Coastal Contracts akan mempamerkan hasil yang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) dengan meningkat hampir 3 kali ganda. 

 

Kumpulan juga dijangka merekodkan prestasi yang baik pada FY23 dengan hasilnya berkembang 4% tahun ke tahun. 

 

Menurutnya, prestasi itu disokong terutamanya menerusi perolehan kontrak baharu secara berturut-turut bagi 2 loji gas pesisir pantai di Mexico.

 

"Secara khususnya, kontrak perolehan dan pembinaan (EPC) dan operasi dan penyelenggaraan (O&M) bagi loji gas Papan bernilai RM4.5 bilion, akan diiktiraf sepanjang 2022 hingga 2032.

 

"Ini menyaksikan sumbangan hasil bagi tahun penuh FY22 terutamanya menerusi pelantar mudah alih baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada separuh pertama FY22, sebanyak 79% hasil dan keuntungan sebelum cukai kumpulan diperoleh daripada segmen pemprosesan gas di Mexico.

 

TA Securities berkata, walaupun keuntungan FY24 akan dinormalisasikan selepas selesai kerja-kerja EPC Papan, asas keuntungan yang diperbesarkan adalah melebihi 2 kali ganda daripada pendapatan FY21.

 

"Jelas sekali menunjukkan Coastal Contracts telah bangkit semula, dengan pendapatan jangka panjang baharu daripada projek gas di pesisir pantai Ixachi yang produktif.

 

"Lebih-lebih lagi, pengembangan pendapatan masa depan berkemungkinan besar menjadi kenyataan kerana pengeluaran gas Ixachi dijangka melonjak kepada 1,100 mmscfd pada 2026," jelasnya.

 

Menurut firma itu, syarikat minyak Mexico, Pemex, akan memerlukan 3 loji gas baharu untuk memproses keluaran Ixachi dalam tempoh 25 tahun berikutnya.

 

"Oleh itu, kami percaya Coastal Contracts adalah calon paling layak untuk projek ini, dengan mengambil kira rekod prestasinya dan lembaran imbangan yang mantap," katanya. 

 

Setakat 9.21 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.6% kepada RM1.67 dengan 42,400 saham diniagakan. - DagangNews.com