Syarikat penerbangan tempatan diunjur terus kembangkan rangkaian selaras peningkatan nisbah penumpang, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Syarikat penerbangan tempatan diunjur terus kembangkan rangkaian selaras peningkatan nisbah penumpang, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Syarikat penerbangan tempatan dijangka terus mengembangkan rangkaiannya terutamanya selepas campuran penumpang antarabangsa dan domestik meningkat kepada nisbah 50:50 menghampiri kepada nisbah pra pandemik. 

 

MIDF Research berkata, pada masa sama lebih banyak syarikat penerbangan asing meneroka Malaysia sebagau laluan berdaya maju.

 

"Pada masa ini, terdapat 63 syarikat penerbangan dari tujuh wilayah beroperasi di lapangan terbang tempatan (85% daripada tahap 2019).

 

"Perkembangan menarik di peringkat tempatan termasuk Batik Air mengukuhkan rangkaiannya di Australia dan Asia Timur, dan MYAirline melancarkan penerbangan antarabangsa pertamanya ke Bangkok bermula dari Jun 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jumlah penumpang kolektif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencecah 6.3 juta pada April 2023, mewakili pemulihan 72% berbanding paras April 2019 (domestik: 81%, antarabangsa: 64%).

 

Pemulihan sektor domestik kekal sihat melebihi 80%, didorong oleh peningkatan perjalanan semasa perayaan Aidilfitri.

 

"Pengurusan MAHB menjangkakan musim haji menyumbang antara 12% hingga 28% peningkatan dalam jumlah pergerakan penumpang bulanan dari Mei hingga Julai ini.
 

"Oleh itu, trafik penumpang dijangka mengekalkan trajektori pemulihan yang kukuh," kata MIDF Research.

 

Firma itu kekal 'neutral' terhadap sektor itu dan tidak membuat sebarnag perubahan terhadap unjuran trafik penumpang.

 

Katanya, pemulihan trafik sebanyak 85% dijangka berlaku pada tahun ini (domestik: 90% dan antarabangsa: 80%)

 

"Selain itu jangkaan ini merangkumi syarikat penerbangan tempatan terus berkembang dan kehadiran lebih pantas pelancong dari China," katanya. - DagangNews.com