KUALA LUMPUR 8 Julai – Penyiapan kapal tempur pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal mengikut jadual, dengan pembangunan kapal itu terus berjalan meskipun kerajaan sedang mencari pengganti kepada sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang dirancang sebelum ini.
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata, kapal LCS berkenaan akan disiapkan dengan pelbagai keupayaan operasi yang telah dipasang, sekali gus memastikan aset berkenaan mampu meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.
Jaminan itu diberikan selepas kerajaan Norway pada Mei lalu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal NSM dan pelancar berkaitan ke Malaysia atas alasan keselamatan negara.
Dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 7 Julai, Mindef berkata keputusan berkenaan tidak menjejaskan jadual penyiapan kapal LCS seperti yang dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LNS), selaku kontraktor projek.
“Kapal-kapal ini masih akan dilengkapi pelbagai keupayaan termasuk peperangan antikapal selam, peperangan antipesawat serta peperangan elektronik,” katanya.
Mindef berkata, kapal LCS turut dilengkapi Sistem Pengurusan Tempur (CMS) yang mengintegrasikan semua keupayaan berkenaan dengan sistem radar serta pengesanan kapal bagi meningkatkan kesedaran situasi dan keberkesanan operasi.
Keupayaan tempur LCS terus diperkukuh
Kementerian itu berkata, pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keupayaan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan kapal LCS dikekalkan menerusi penyelesaian terbaik.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan kapal LCS terus memenuhi keperluan operasi TLDM sebagai aset tempur pelbagai peranan yang mampu beroperasi dalam pelbagai situasi ancaman maritim.
Kemajuan projek LCS kini mencapai 78.1% setakat 31 Mei 2026, menunjukkan perkembangan berterusan ke arah penyiapan kapal pertama. Kadar itu bagaimanapun masih 7.11 mata peratus lebih rendah berbanding sasaran asal iaitu 85.21%.
Perbelanjaan keseluruhan projek setakat ini berjumlah RM8.457 bilion, bersamaan 76.2% daripada nilai keseluruhan projek.
Projek strategik pemodenan armada TLDM
Program LCS merupakan antara inisiatif pemodenan pertahanan terbesar negara yang bertujuan memperkukuh keupayaan TLDM menerusi pembinaan kapal tempur pelbagai peranan dengan sistem pemantauan, pertahanan dan peperangan berteknologi tinggi.
Kapal LCS dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan operasi TLDM dalam aspek pertahanan ruang udara, peperangan permukaan, peperangan bawah permukaan serta operasi elektronik, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Mindef menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta perkembangan terkini projek LCS, jumlah dana awam yang telah dibelanjakan serta status penyiapan kapal berkenaan menjelang Disember seperti yang dijanjikan sebelum ini. - DagangNews.com








