KUALA LUMPUR 2 Jun - Supermax Corp. Bhd. terus memenuhi lebih banyak piawaian pematuhan antarabangsa sejak pelancaran Dasar Pengurusan Pekerja Asing yang komprehensif untuk mengukuhkan dasar dan amalan pengurusan sumber manusia dan pekerja asingnya pada Januari 2022.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menyediakan persekitaran kerja dan kehidupan yang lebih baik kepada pekerjanya, Supermax baru-baru ini telah menyelesaikan kerja-kerja baik pulih untuk menaik taraf kemudahan di asrama.
Katanya, penginapan pekerja kini memenuhi semua piawaian tempatan dan antarabangsa dengan kantin dan ruang makan yang lebih baik dilengkapi dengan bahagian merokok yang ditetapkan, ATM dan kemudahan lain.
"Walaupun naik taraf ini sudah disiapkan di kemudahan Supermax, namun, syarikat komited untuk melaksanakan penambahbaikan berterusan kepada kemudahannya bagi menyediakan persekitaran kerja dan kehidupan yang bertenaga dan selesa kepada pekerjanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada awal Februari lalu, Supermax mengumumkan program jangkauan dan penubuhan dana yang diperuntukan oleh syarikat untuk tujuan pelunasan hutang bagi memudahkan pembayaran pemulihan kepada bekas pekerja asingnya yang layak mengikut skop yang diperluaskan.
Pembayaran untuk kumpulan pertama bekas pekerja asing di bawah kelayakan yang disemak telah selesai.
Baru-baru ini, Supermax juga telah menyelesaikan pemilihan pertama Jawatankuasa Pekerja yang dipilih oleh pekerja melalui proses yang bebas, adil dan telus.
Jawatankuasa ini berperanan untuk memudahkan komunikasi dan pemahaman yang lebih baik tentang isu tempat kerja dan kebajikan pekerja serta menganjurkan program, dialog dan maklum balas untuk mengukuhkan hubungan buruh antara pengurusan dan pekerja.
Sebagai tambahan kepada Jawatankuasa Pekerja yang ditubuhkan secara dalaman, dan untuk mengukuhkan perlindungan hak pekerja, Supermax bersama firma perunding antarabangsa memperkenalkan kepada pekerjanya saluran bebas untuk menyuarakan kebimbangan.
"Para pekerja kini boleh menggunakan platform yang dikenali sebagai 'Suara Kami', sebagai saluran aduan luar berbilang bahasa yang disediakan oleh Responsible Business Alliance, sebuah gabungan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi untuk menambah baik keadaan sosial, persekitaran dan etika dalam rantaian bekalan global," jelasnya.
Supermax berkata, beberapa bulan akan datang, ia akan melancarkan kempen 'dasar pintu terbuka' dengan kedutaan asing berkaitan di Malaysia bertujuan untuk mempromosikan kebajikan pekerja, perlindungan dan mengukuhkan akses diplomatik.
"Inisiatif kempen ini termasuklah memanjangkan jemputan terbuka kepada wakil kedutaan untuk melawat kilang pembuatan syarikat dan bertemu dengan pekerja, bebas daripada gangguan, pada bila-bila masa, jika perlu," jelasnya.
Syarikat itu menegaskan ia akan sentiasa berusaha meningkatkan amalan sumber manusia agar sejajar dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan jangkaan badan kawal selia antarabangsa, seperti Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat. - DagangNews.com








