KUALA LUMPUR 17 Ogos - Supercomnet Technologies Bhd dijangka berpindah daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Ogos 2023.
Pengeluar peranti perubatan, kabel dan tangki bahan api itu mengumumkan perkara tersebut setelah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk pemindahan keseluruhan modal saham terbitannya
Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjadikannya sebahagian daripada subsektor peralatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, di bawah sektor penjagaan kesihatan.
Pada April 1999, Supercomnet Technologies berkata ia telah menjadi syarikat pertama yang disenaraikan di Pasaran ACE dengan nilai pasarannya ketika itu berjumlah RM144.08 juta.
Sejak itu, katanya, nilai pasarannya telah meningkat lebih tujuh kali ganda kepada RM1.06 bilion pada hari ini.
Aktiviti utama kumpulan itu adalah pembuatan dan pemasangan alat dan kabel perubatan, tangki bahan api automotif, serta wayar dan kabel untuk industri elektronik dan industri automotif.
Dalam segmen perubatan, yang pada masa kini menyumbang sebahagian besar keuntungan kasar Supercomnet Technologies, pelanggannya termasuk syarikat multinasional dari Amerika Syarikat dan Eropah, serta pengeluar peralatan yang baru.
Saham Supercomnet ditutup rendah hari ini pada RM1.35, turun 2 sen atau 1.5%, memberikannya permodalan pasarannya bernilai RM1.06 bilion dengan lebih 788 juta unit modal saham. - DagangNews.com








