KUALA LUMPUR 9 Julai - Mesiniaga Berhad dan SUSE memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mempercepat pemodenan virtualisasi perusahaan (enterprise virtualisation) di Malaysia menerusi rumusan infrastruktur terbuka, selamat dan boleh diskala.
Kerjasama strategik itu menawarkan organisasi Malaysia alternatif platform virtualisasi perusahaan moden yang memberikan penetapan harga lebih boleh dijangka, kos pemilikan keseluruhan lebih rendah, migrasi lancar serta sokongan tempatan yang dipercayai.
Mesiniaga, antara rakan kongsi teknologi perusahaan terkemuka Malaysia, berkata kerjasama bersama SUSE, peneraju global perisian sumber terbuka perusahaan, dibuat ketika organisasi semakin menilai semula strategi virtualisasi susulan perubahan model pelesenan, peningkatan kos infrastruktur serta keperluan terhadap ketelusan harga, kepastian komersial dan kebebasan teknologi.
Melalui kerjasama itu, Mesiniaga dan SUSE akan menyediakan platform virtualisasi perusahaan moden yang membolehkan pelanggan memodenkan persekitaran teknologi maklumat (IT) dengan lebih yakin, sambil mengekalkan daya tahan operasi dan kecekapan kos jangka panjang.
Rumusan itu menggabungkan platform virtualisasi bertaraf perusahaan SUSE dengan kepakaran tempatan Mesiniaga bagi membantu organisasi membina infrastruktur yang lebih fleksibel, berdaya tahan dan mampu menyokong keperluan perniagaan masa hadapan.
Ketelusan Harga
Platform berkenaan turut memberikan organisasi ketelusan harga dan kepastian komersial yang lebih baik, sekali gus membantu mereka mengurus pelaburan IT jangka panjang dengan lebih berkesan serta mengurangkan kos pemilikan keseluruhan.
Selain menawarkan kelebihan dari aspek kos dan kawalan pelaburan, penyelesaian itu membolehkan organisasi melakukan migrasi secara lancar daripada persekitaran virtualisasi sedia ada dengan gangguan operasi yang minimum.
Dengan sokongan metodologi pelaksanaan terbukti serta kepakaran tempatan Mesiniaga, pelanggan dapat mengurangkan kerumitan migrasi, mempercepatkan penggunaan sistem baharu dan memastikan kesinambungan perniagaan sepanjang proses pemodenan infrastruktur.
Berbanding pendekatan vendor teknologi global yang lazim, pelanggan turut mendapat manfaat daripada keupayaan Mesiniaga dalam perundingan tempatan, pelaksanaan, perkhidmatan terurus serta sokongan perusahaan.
Sokongan menyeluruh itu memastikan organisasi mempunyai akses kepada pakar tempatan berpengalaman pada setiap peringkat perjalanan migrasi dan operasi berterusan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap proses transformasi digital mereka.
Organisasi semakin utamakan kedaulatan digital
Pengurus Besar Asia Tenggara SUSE, Gayathri Peria berkata teknologi sumber terbuka menjadi asas kepada tadbir urus yang telus dan selamat dengan memastikan pemimpin IT mempunyai kawalan penuh terhadap data serta kod mereka.
"Melalui kerjasama strategik bersama Mesiniaga, kami menyasarkan untuk menyediakan bukti konsep (*proof-of-concepts*) yang disahkan kepada pihak berkepentingan sektor awam dan perusahaan nasional bagi memaksimumkan nilai infrastruktur, memastikan penyelarasan dengan garis panduan JDN serta melindungi kesinambungan perkhidmatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mesiniaga Berhad, ST Chua, berkata banyak organisasi kini menilai semula strategi virtualisasi mereka ketika mencari kepastian komersial, fleksibiliti dan nilai jangka panjang daripada pelaburan teknologi. - DagangNews.com








