KUALA LUMPUR 17 Jan - Sunway Construction Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn. Bhd. meraih kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji janakuasa solar fotovoltaik (PV) bernilai RM218.76 juta di Kampar, Perak.
Ia menerima surat anugerah bagi kontrak itu daripada GBS Suria Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Gopeng Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak itu membabitkan kerja-kerja EPCC bagi kemudahan penjanaan tenaga solar PV merangkumi peralatan dan kemudahan sampingan dengan kapasiti penjanaan 50MW.
Kerja-kerja EPCC ini akan bermula pada 17 Januari 2023 dan dijangka mengambil masa selama 20 bulan.
"Skop bagi kontrak ini membabitkan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan loji tersebut termasuk kemudahan janakuasa tenaga solar PV, substesen baharu dengan kapasiti 132kV dan kemudahan berkaitan, talian penghantaran dan atau kabel bawah tanah.
"Ini turut merangkumi kerja-kerja berkaitan di kemudahan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) termasuk kerja-kerja talian penghantaran," katanya.
Menurut Sunway Construction, kontrak EPCC itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada modal terbitan dan pemegangan utama kumpulan kerana ia tidak melibatkan sebarang peruntukan atau pengeluaran saham baharu.
Bagaimanapun, ia akan memberi impak yang kecil terhadap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) jika Pilihan Pembayaran Tertunda dilaksanakan oleh GBS Suria.
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kontrak EPCC ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi FY23 dan seterusnya," tambahnya. - DagangNews.com








